HALAMAN SANTAI

Khamis, 7 Februari 2013

Kakitangan awam diajak tukar ke kebebasan dan intergriti

Harakahdaily,

KUALA LUMPUR: Kakitangan perkhidmatan awam, termasuk polis dan tentera yang bosan dengan  tekanan politik dalam kerja seharian mereka kini mempunyai jalan keluar daripada kemelut tersebut menuju kebebasan dan intergriti.

“PAS mengingatkan bahawa perkara ini boleh dihentikan dengan para kakitangan perkhidmatan awam, termasuk polis dan tentera membuat perubahan dalam pilihanraya ke-13,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, pelbagai tekanan dan paksaan yang dikenakan ke atas kakitangan-kakitangan bagi menyokong program dan agenda Umno dan pelbagai  surat tunjuk sebab dikeluarkan yang langsung tidak berkaitan dengan tugas rasmi.

“Campur tangan melampau Umno juga menyebabkan ramai kakitangan ditukar, diberi amaran dan ditahan kenaikan gaji dan pangkat, semata-mata dilihat tidak menyokong Umno,” tambahnya.

Selagi Umno BN terus berkuasa, kata Pesuruhjaya PAS Pahang itu, para kakitangan perkhidmatan awam akan terus ditekan dan dibuli bagi menghadiri pelbagai program Umno dan melakukan perkara-perkara untuk agenda Umno, walaupun perkara itu bertentangan dengan naluri dan sifat mereka untuk kekal berdikari dan hak membuat pilihan sendiri.

Tuan Ibrahim turut mengesa seluruh kakitangan awam bertindak dengan bijak bagi menghentikan campur tangan melampau ini, dan bertindak keluar dari tekanan dan paksaan politik ini dengan memberi mandat kepada PAS dan Pakatan Rakyat pada PRU13.

PAS, katanya bersama Pakatan Rakyat memberikan jaminan perkhidmatan awam akan dibiarkan bebas dan berdikari daripada cengkaman dan tekanan politik jika diberi mandat nanti.

“Para kakitangan awam tidak lagi perlu risau dan takut untuk melakukan perkara yang betul yang tidak disukai parti pemerintah sehingga menyebabkan mereka ditukar dan dipisahkan daripada keluar dan kesan kepada gaji, pangkat dan masa depan mereka di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat yang menjunjung konsep kerajaan bermoral dan adil seperti yang dituntut Islam,” tegas beliau.

Tiada ulasan: