KEADILAN DAILY
PETALING JAYA : KEADILAN hari ini mengumumkan Institut Rakyat sebagai tunjang kepada dasar persiapan awal Pakatan Rakyat mentadbir negara.
Pengarah Strategi, Rafizi Ramli berkata, penubuhan institut itu landasan untuk memfokuskan dasar Pakatan secara jelas kepada rakyat.
“Orang di belakang institut ini kebanyakan daripada KEADILAN. Ini adalah langkah menuju Putrajaya.
“Jika kita selalu ditanya Umno BN mengenai dasar, inilah tempat perincian dasar yang dibuat secara rasmi. Kita sudah lama buat penyelidikan mengenai perkara itu tapi tidak secara formal,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, di sini hari ini.
Rafizi berkata, perancangan penubuhan institut itu sejak setahun lalu dengan matlamat jelas menjalankan kaji selidik dasar dan pemikir untuk memperkukuh keupayaan kajian dan dasar parti.
“Institut ini menyelidik polisi berdasarkan modul untuk perkembangan kepada dasar parti,” katanya.
“Penubuhan institut ini sebagai pembentuk dasar dengan pendekatan baru dalam politik,” jelas Rafizi.
Beliau ditemani Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar dan Biro Pelaburan dan Perdagangan KEADILAN, Wong Chen.
Hadir sama buat kali pertama, orang kuat di belakang institut itu, Pengarah Penyelidik, Tricia Yeoh, Wong Hoy Cheong. Antara penyelidik terlibat ialah Yin Shao Loong.
Turut diumumkan, majlis pelancaran Institut Rakyat di Hotel Empire Subang jam 3 petang, Khamis ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan