KEADILAN DAILY
Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor memuji langkah berani Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang akan mengumumkan keputusan Kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat untuk mengambil langkah seterusnya setelah tempoh tawaran 14 hari pengambilalihan industri air tamat semalam, selepas mesyuarat Exco esok.AMK Selangor melihat sikap Kerajaan Persekutuan yang mendiamkan diri terhadap surat tawaran harga untuk mengambilalih empat syarikat konsensi yang mengurus perkhidmatan air Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya ini sebagai sikap tidak berminat mereka untuk menyelesaikan masalah penstukturan air yang masih tergendala di negeri Selangor.
Seharusnya Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau & Air mengambil langkah yang lebih tepat dalam isu ini dan tidak menjadikan air sebagai politik murahan untuk memenangi semula Selangor. Wujud persoalan adakah beberapa pegawai KeTTHA yang tidak bertanggungjawab telah turut sama melewatkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air, dan atau adakah Menteri dan Kabinet tidak menerima maklumat yang tepat dalam banyak proses pelaksanaan keputusan berkaitan isu ini?
Air diurustadbir syarikat konsesi tidak berpengalaman, rakyat menerima padah
AMK Selangor percaya dipaksa menggunakan perkhidmatan syarikat konsesi yang tidak memiliki kepakaran dalam industri air menyebabkan rakyat mendapat perkhidmatan tidak memuaskan seperti gangguan bekalan air serta kadar tarif yang tinggi serta tidak munasabah.
Apakah dengan menghalang usaha penstukturan air ini, maka Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional (BN) akan berjaya membuktikan bahawa sebarang usaha ke arah perkhidmatan air yang ditadbir oleh negeri akan menemui kegagalan? Jika begitu, mengapa Terengganu dan Melaka sebagai contoh, diberi ruang untuk melakukan penstukturan air mereka sendiri melalui Akta Industri Perkhidmatan Air 2006
Tohmahan bahawa Kerajaan Negeri memiliki kuasa penuh ke atas Syabas adalah dangkal kerana Kerajaan Negeri hanya mempunyai 30 peratussaham dalam SYABAS manakala pemegang saham terbesar adalah Puncak Niaga dan Kementerian Kewangandiperbadankan pemegang saham emas, dan ini jelas memberi mereka kuasa untuk membuat keputusan sebagaimana termaktub di dalam WSIA (Akta Industri Perkhidmatan Air )
Justeru SYABAS juga tidak boleh memberi alasan Capex (perbelanjaan modal) sebagai batu penghalang perlaksanaan perkhidmatan air yang baik. Tugas utama SYABAS adalah untuk membekalkan air dan bukannya melaksanakan capex. Model WSIA tidak membenarkan pemegang lesen perkhidmatan air dibebani dengan kerja-kerja perbelanjaan modal kerana ianya adalah perlu diuruskan melalui kelulusan kerajaan negeri dan SPAN.
AMK Selangor bertegas kepentingan rakyat perlulah berada di hadapan dalam apa juga isu pertindihan yang dialami antara negeri dan persekutuan, dimana jelas Kerajaan Negeri dilihat lebih ke hadapan dalam menjaga kebajikan rakyat, disebalik kesombongan Kerajaan Persekutuan untuk memperjudikan keperluan asas rakyat.
AMK Selangor berdiri teguh di belakang Kerajaan Negeri Selangor atas apa juga dasar baik yang dirangka untuk rakyat, dan akan turun dalam siri jelajah penerangan isu air yang dimanipulasi sekian lama oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab ini, yang mengimpikan kerajaan pilihan rakyat di Selangor tumbang akibat kemarahan rakyat. Namun waspada, rakyat telah cerdik dan bersedia untuk menghukum petualang ini yang cuba bermain isu keselamatan dan keperluan asas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan