Wartawan Buletin
SETIU - Jumlah Kerusi orang Melayu Islam yang ditandingi oleh Pakatan Rakyat lebih banyak berbanding kerusi Melayu Islam Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 ini. [Gambar - Haji Kadri Ibrahim yang menyertai PAS]Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata Parlimen Malaysia mempunyai 222 buah kerusi yang menjadi rebutan antara Pakatan Rakyat dengan Barisan Nasional.
Namun, katanya dari segi penyusunan kerusi pada pilihan raya ini Pakatan Rakyat lebih mengutamakan kerusi Melayu Islam berbanding dengan Umno-BN.
“Parlimen ada 222 kerusi semuanya dan Barisan Nasional bertanding 221 kerusi kerana satu kerusi diberi kepada Pasir Mas (Bebas).
“PAS tanding 73 kerusi (parlimen), DAP tanding 50 kerusi dan Parti KeADILan Rakyat (PKR) tanding 99 kerusi, kerana PKR ini ada macam-macam bangsa dan parti politik termasuk di Sabah dan Sarawak seluruh Malaysia.
“Daripada 222 kerusi itu, Pakatan rakyat tanding Melayu Islam 145 kerusi dan Barisan Nasional Melayu Islam tanding 131 kerusi…mana banyak 145 dengan 131 kerusi?,” soalnya ketika berucap pada Majlis Ceramah Kempen di Markas Besar Pilihan Raya Dun Batu Rakit, Setiu, 26 April lalu.
Bahkan, kata Ustaz Abdul Hadi, calon bukan Islam yang bertanding dalam Pakatan Rakyat hanya ada 77 kerusi berbanding dengan bukan Islam dalam BN ada 91 kerusinya.
Beliau yang juga calon penyandang P37 Marang melahirkan rasa dukacita kerana pengundi Melayu memilih pemimpin yang bagi duit dan bukan yang boleh membela nasib rakyat.
Namun, katanya pengundi kaum Cina dan bukan Islam yang memahami politik memilih pemimpin yang boleh membela nasib mereka.
Dato’ Seri Abdul Hadi mendakwa demi menyelamatkan Barisan Nasional, Umno sanggup menyerahkan kerusi Melayu Islam kepada parti MCA, MIC dan Gerakan.
Katanya, Umno menyerahkan sebanyak 21 kerusi Melayu Islam kepada MCA, MIC dan Gerakan kerana hendak kekal berkuasa.
Sebaliknya, kata Ustaz Abdul Hadi, Pakatan Rakyat pula telah berjaya memecahkan benteng perkauman yang menyusahkan antara kaum di negara ini.
“Tiba-tiba Pakatan Rakyat telah berjaya memecahkan benteng perkauman yang sebelum ini menyusahkan antara kaum dalam negara ini.
“Tidak salah Melayu sayang kepada Melayunya, Cina sayang kepada Cinanya, India sayang kepada Indianya dan Benggali sayang kepada Benggalinya…tak salah, tapi yang jadi salah kita sayang kepada bangsa hingga menzalimi bangsa lain,” jelasnya dihadapan lebih 1000 hadirin.
Pada majlis tersebut Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi menerima borang keahlian PAS dari bekas Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia, Haji Kadri Ibrahim yang menyertai PAS [Gambar].
Sebelum itu, beliau pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Penolong Pengarah Jabatan Tanah dan Galian Pahang, Penolong Pegawai daerah Maran, Jerantut, Bentong dan Kuantan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan