SINAR HARIAN
KUALA LUMPUR - Kaji selidik Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti
Malaya (Umcedel) kononnya Datuk Seri Anwar Ibrahim calon popular untuk
menjadi perdana menteri, tidak menggambarkan aspirasi keseluruhan rakyat
dan pengundi.
Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Profesor Dr Azmi
Hassan menegaskan hasil kaji selidik itu tidak mewakili aspirasi 28 juta
rakyat negara ini serta 13.2 juta pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13
(PRU13) 5 Mei ini.
"Kalau berdasarkan jumlah pengundi yang layak mengundi pada PRU13 ini,
kaji selidik itu terlalu kecil kerana responden hanya 0.010 peratus
daripada jumlah pengundi," katanya ketika dihubungi Bernama.
Kaji selidik itu yang dilaporkan beberapa portal berita, hanya
melibatkan 1,407 responden sahaja berbanding lebih 13 juta pengundi.
Kaji selidik itu tidak menyatakan kaedah kaji selidik, profil responden serta lokasi kaji selidik.
Sambil menegaskan hasil kaji selidik itu tidak logik dan rakyat tidak
harus mempercayainya, Dr Azmi menarik perhatian pergolakan dalam
pembangkang sendiri jelas mencerminkan ia tidak layak menjadi
pemerintah.
Sentimen Dr Azmi turut dikongsi Penyandang Kursi Pengajian Tun Abdul
Ghafar Baba, Universiti Pendidikan Sultan Idris Prof Datuk Dr Zainal
Kling yang berkata kaji selidik itu tidak sekali-kali melambangkan
pandangan keseluruhan rakyat mahupun bayangan pola pengundian kelak.
"Ianya boleh dipersoalkan termasuk dari segi kaedah, individu yang
terlibat di dalam kaji selidik itu dan tidak mustahil pembangkang ada
meletakkan orang mereka di dalam institusi yang membuat kajian
tersebut," katanya kepada Bernama.
Beliau juga berkata tidak mustahil ini antara taktik pembangkang untuk
mengalih perhatian umum daripada kemelut yang dihadapi mereka ketika ini
seperti percanggahan pendirian berhubung pelaksanaan hukum hudud, klip
video seks melibatkan individu yang mirip pemimpin pembangkang serta
masalah calon bertindih dalam PRU13.
"Macam-macam mereka buat. Inilah antara perang psikologi mereka kerana moral mereka telah jatuh ketika ini," katanya.
Zainal tidak menolak kemungkinan akan ada lagi cubaan licik mereka
untuk meraih simpati pengundi dan berkata pastinya BN perlu bersiap
sedia untuk 'melawan' perang psikologi tersebut.
Hasil kaji selidik itu turut dipertikai penganalisis politik Prof Madya
Datuk Dr Zainal Abidin Borhan yang menegaskan ia tidak memberikan
gambaran tepat mengenai keadaan semasa.
"Setiap penyelidikan ada kaedah dan kita nak tahu kaedah bagaimana yang
digunakan sama ada temu bual melalui telefon, e-mel atau bersemuka.
Kita juga nak tahu adakah jumlah yang terlibat hanya daripada Universiti
Malaya ataupun termasuk orang luar," soalnya.
"Biarlah 5 Mei ini menjadi penentu," katanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan