Nazri Abdullah, |
(Hasil kajian UMCEDEL terhadap manifesto Pakatan dan BN)
KUALA LUMPUR: Kajian yang dijalankan oleh Pusat Kajian Pilihan Raya dan Demokrasi Universiti Malaysia (UMCEDEL) mendapati, rata-rata pengundi bersetuju bahawa manifesto Pakatan Rakyat lebih memenuhi harapan rakyat berbanding manifesto BN.
Dalam kajian terhadap 1,407 responden pengundi berdaftar yang dibuat pusat kajian itu, 42 peratus dari mereka bersetuju terhadap manifesto Pakatan Rakyat dan hanya 36 peratus bersetuju dengan manifesto BN, manakala 22 peratus memilih tidak pasti.
"Ini dalam keadaan manifesto BN dibentang secara langsung dua jam dalam televisyen, dan media memainkannya hampir setiap hari selepas daripada itu," kata pengarahnya Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Universiti Malaya semalam selepas membentangkan hasil kajian bertajuk Pilihan Pengundi Menjelang Hari Mengundi dalam PRU13.
Kajian tersebut dijalankan bermula pada 3 April iaitu hari pembubaran parlimen, sehingga ke hari penamaan calon pada 20 April lalu.
Antara tawaran paling memberi kesan kepada pengundi adalah tawaran penurunan harga minyak yang dijanjikan Pakatan Rakyat jika berjaya menguasai pentadbiran negara.
Tawaran lain yang turut disokong pengundi termasuklah, menghapuskan tol, menurunkan harga kereta, penurunan caj elektrik dan harga air lebih rendah, penghapusan PTPTN, pemberian permit teksi individu serta gaji minima.
Dari segi pecahan kaum, masyarakat Cina adalah paling tinggi bersetuju bahawa manifesto Pakatan Rakyat lebih memenuhi hasrat rakyat dengan 61 peratus, Melayu 37 peratus manakala India 21 peratus.
Bagi BN pula, majoriti yang mengatakan manifesto BN lebih memenuhi hasrat rakyat adalah kaum India dengan 53 peratus, Melayu 38 peratus manakala Cina 25 peratus.
"Kita bertanyakan kepada mereka, dan kebanyakan mereka ini menyatakan memperolehi maklumat manifesto Pakatan Rakyat ini daripada internet dan media alternatif," kata Dr Ridhuan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan