HALAMAN SANTAI

Sabtu, 27 April 2013

BN tak terjejas tindakan pemimpin belot, tegas Najib di Kuala Kangsar

RAZIF ROSLI, KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN & RIDAUDDIN DAUD

BN tak terjejas tindakan pemimpin belot, tegas Najib di Kuala Kangsar
Najib disambut penyokong BN di pekarangan Arena Square Kuala Kangsar bagi menghadiri Perhimpunan Rakyat 1Malaysia, turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
 
KUALA KANGSAR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan sokongan ahli dan penyokong Barisan Nasional (BN) terhadap parti itu tidak terjejas dengan tindakan segelintir pemimpin parti yang bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Menurutnya, ini kerana rakyat mengetahui kemenangan parti lebih penting daripada individu untuk menubuhkan sebuah kerajaan bagi membela nasib rakyat dan sejarah telah membuktikan ahli yang mengkhianati parti tidak akan diterima rakyat.

“Siapa yang tinggalkan parti, rakyat akan tinggalkan dia kerana kepentingan parti lebih besar dan penting daripada kepentingan peribadi malah sejarah sendiri sudah membuktikannya.

“Datuk Onn Jaafar dulu adalah pengasas Umno tapi beliau keluar parti dan tubuhkan parti lain tapi rakyat tidak terima beliau,” katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Rakyat 1Malaysia di sini, semalam.

Tambah beliau, perjuangan parti tetap akan diteruskan walaupun kehilangan beberapa individu yang bertindak keluar parti.

“Kalau kita hendak impian dan cita-cita rakyat serta negara tercapai, parti mesti didahulukan malah jawatan hanya satu serta sementara tetapi maruah dan harga diri tidak boleh dibeli.

“Rakyat akan kenang sampai bila-bila mana-mana pemimpin yang tiada jawatan tetapi mempunyai nilai dan maruah diri,” katanya.

Selain itu, Najib mahu BN diberi mandat untuk terus mempertahankan Putrajaya kerana BN mahu terus berbakti kepada rakyat.

Tiada ulasan: