Ahmad Idham Ahmad Idham
 
SEJAK akhir-akhir ini, nama pengarah dan penerbit terkenal, Ahmad Idham Ahmad Nadzri sering menjadi topik perbincangan dunia seni.

Belum lagi reda dengan isu kenyataan di ruangan gosip akhbar tempatan, Ahmad Idham kembali bersuara dan mempersoalkan tindakan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Menerusi laman mikro Twitternya, Ahmad Idham mendesak Finas memberi penjelasan lanjut mengenai kos penerbitan iklan pendek sempena hari kemerdekaan terbitan badan itu yang mencecah RM450,000.

Pun begitu, luahan Ahmad Idham mendapat respons dari wakil Finas yang juga Pengerusinya, Datuk Md Afendi Hamdan.

Menurut Md Afendi menerusi temu bual portal online, Ahmad Idham tidak sepatutnya mempersoalkan kos tersebut memandangkan pemilik syarikat produksi, ExcellentPictures Sdn Bhd itu lebih arif dalam arena seni dan pembikinan iklan pendek yang berkualiti.

Iklan Tanah Tumpahnya Darahku disiarkan serentak di pawagam seluruh negara sebelum tayangan filem bermula Rabu lalu.

Untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai perkara berbangkit itu, Zass menyusun satu temu bual khas bersama Ahmad Idham.

Boleh jelaskan sedikit mengenai desakan anda di Twitter itu?

Sejujurnya, saya hanya inginkan penjelasan daripada Finas mengenai perkara itu. Sebagai penggiat seni, saya tidak menafikan kos perbelanjaan untuk menghasilkan iklan pendek yang bermutu tinggi menelan kos sebesar itu. Saya tak kisah kalau kos itu mencecah RM1 juta sekalipun. Saya tak tanya kenapa kos itu mencecah RM450,000, namun saya nak tahu bagaimana Finas boleh mengeluarkan perbelanjaan yang besar untuk promo itu. Saya minta beliau jelaskan bagaimanakah proses yang dilalui untuk mendapatkan dana sebanyak itu.

Maksud anda, kenyataan Finas tidak menjawab soalan?

Saya hanya mampu tersenyum baca kenyataannya kerana apa yang saya tanya, lain yang dia jawab. Sebagai penggiat seni dan juga rakyat Malaysia, saya berhak untuk bertanya kerana ia adalah duit rakyat. Salahkah saya untuk bertanya? Saya tak sangka yang Pengerusi akan menjawab soalan saya kerana saya berharap Ketua Pengarah (KP) Finas yang jawab. Pun begitu, jawapan yang diberi tidak seperti yang diharapkan kerana saya menjangkakan beliau dapat memberikan jawapan yang bijak dan berkarisma. Saya tak sangka yang beliau terus melenting dan tidak boleh ‘disentuh’. Namun, pada pandangan saya, jawapan beliau lebih menjurus kepada serangan peribadi.

Mengapakah anda terpanggil untuk membangkitkan isu ini?

Sebelum ini, saya pernah menyuarakan persoalan mengenai isu slot tayangan dan wajib tayang, namun Finas hanya berdiam diri dan tidak tampil untuk memberikan penjelasan. Di saat industri kita berdepan dengan pelbagai masalah, di manakah Finas? Alih-alih, pada ketika ini Finas mengeluarkan dana yang cukup besar untuk sebuah iklan. Pelajar saya pernah meminta bantuan dana untuk menghasilkan karya, namun Finas tak bagi. Saya sendiri sangsi dengan cara pelaksanaan dan pengurusan Finas. Sepatutnya Finas tidak perlu cepat marah dan meradang kerana Finas juga perlu menerima pandangan dan reaksi orang lain dalam perkara ini. Sebagai contoh, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau turut membuka peluang kepada rakyat untuk berkongsi idea dan pandangan. Mengapa pula Finas tak boleh dan terlalu sensitif?

Anda sangat berani...

Berani kerana benar, takut kerana salah. Kenapa saya perlu takut untuk bertanya sekiranya perkara itu tidak mendatangkan kesalahan. Sebagai badan yang memayungi penggiat dan industri seni, Finas perlu sentiasa bersedia untuk menjawab sebarang kekeliruan. Perkara ini tidak akan berpanjangan sekiranya Finas memberi penjelasan dengan cara yang profesional. Saya juga tidak keberatan memenuhi permintaan Finas untuk bersemuka dan membincangkan perkara ini. Namun, saya mahu memastikan, perjumpaan itu perlu dihadiri media dan penggiat seni yang lain.

Sejak kebelakangan ini, anda lantang bersuara dalam permasalahan industri. Adakah ini menunjukkan anda kecewa dengan industri?

Sebagai penggiat yang sudah lama memerhatikan perjalanan industri, saya sudah lali dengan topup issue dan masalah berbangkit yang tidak tahu penghujungnya. Saya juga sudah letih nak bercakap perkara yang sama setiap kali diajukan media. Secara keseluruhan, perjalanan industri ada positif dan negatifnya. Malah, golongan penggiat seni juga tidak pernah kenal erti kalah dalam menghasilkan karya. Apa yang merisaukan saya ialah dari segi pentadbiran dan pengurusan. Ianya masih tidak terurus. Namun, selagi saya berada dalam industri, selagi itulah saya akan memperjuangkan industri. Biarlah apa orang nak kata, yang penting kita tahu matlamat perjuangan itu.

Akhir sekali, sebagai penggiat seni, apakah harapan anda untuk industri?

Saya sentiasa berharap agar badan kerajaan dan kementerian yang terlibat memperkemaskan pentadbiran dan pengurusan industri. Sebagai anak seni yang sudah lama bergelumang dalam industri, saya memahami masalah baru dan lama. Walaupun banyak perkara yang gagal diselesaikan, namun saya tetap berharap agar masalah yang ada berjaya diselesaikan. Saya bukanlah sekadar menuding jari kepada sesiapa, namun cuba memastikan yang terbaik untuk industri kita.