HUSSIN AWANG NGAH
KUALA TERENGGANU - Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) Negeri Terengganu bersetuju dengan tindakan kerajaan yang tidak akan mempertimbangkan sebarang permintaan supaya mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng dibawa pulang ke negara ini.
Pengerusinya, Hussin Awang Ngah berkata, dia terkejut kerana masih ada lagi segelintir rakyat Malaysia yang ingin membawa balik abu atau mayat Chin Peng.
Menurutnya, tindakan itu menyebabkan pejuang negara dan keluarga mereka serta rakyat terdahulu khasnya, terguris hati kerana kekejaman komunis khususnya sewaktu darurat pada 1948-1960 masih lagi segar dalam ingatan mereka.
“Tahu tak mereka, dianggarkan seramai 1,883 anggota keselamatan terkorban manakala 2,560 lagi cedera. Ini belum termasuk perajurit-perajurit yang cacat anggota kerana bertempur dengan komunis yang masih hidup hingga kini.
"Malah ribuan orang awam yang terbunuh kerana mereka. Apakah mereka berasakan kami boleh lupakan sejarah hitam itu dengan hanya sedikit perjanjian peletakan senjata? “Malah, kami ingat sumpah Chin Peng, ‘walaupun PKM diharamkan/dibubarkan, namun ideologi komunis tetap berterusan’,” katanya.
Jelasnya, Chin Peng harus bertanggungjawab terhadap apa yang telah dia lakukan dan menjadi penyebab ke atas kematian ramai anggota keselamatan negara.
Katanya, kepulangan Chin Peng hanya akan membangkitkan kemarahan memuncak di kalangan anggota dan bekas-bekas polis dan tentera.
“Saya mewakili seluruh warga PBPM Negeri Terengganu, membantah keras usaha tersebut dan mendesak pihak kerajaan supaya bertindak tegas dengan pendiriannya untuk tidak membenarkan abu atau mayat Chin Peng di bawa balik ke bumi Malaysia,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan