KL TODAY
Tan
Sri Muhyiddin Yassin mempertahankan tindakan pentadbiran Universiti
Perguruan Sultan Idris (UPSI) menggantung aktivis pelajar, Adam Adli
Abdul Halim, dan mengingatkan bahawa mahasiswa perlu mengetahui batasan
kebebasan berpolitik yang diberikan kepada mereka.Dalam ucapannya
ketika sesi dialog dengan pelajar di UPSI, Menteri Pendidikan itu
berkata, pelajar universiti perlu menggunakan saluran yang sedia ada
untuk menyampaikan sebarang kritikan ataupun cadangan dan bukannya
memilih untuk berdemonstrasi.
“Kritikan
tersebut mestilah dengan cara baik, bahasa yang baik tanpa menimbulkan
masalah, tidak berdemonstrasi, jadi apa salahnya,” katanya semasa
menjawab soalan yang diajukan salah seorang pelajar mengenai kebebasan
berpolitik seperti yang dinyatakan dalam pindaan Akta Universiti dan
Kolej Universiti (AUKU).
Walaupun
tidak merujuk secara khusus kepada aktivis mahasiswa tersebut,
kenyataan Muhyiddin tersebut secara tidak langsung terarah kepada Adam
Adli yang dinafikan haknya untuk meneruskan pengajian di UPSI walaupun
tempoh penggantungannya tamat.
Adam Adli
digantung selama tiga semester atas tuduhan mencemarkan reputasi
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tanpa dibela peguam semasa
dibicarakan.
Penuntut
sarjana muda pendidikan berusia 22 tahun itu ditahan dan dihadapkan ke
jawatankuasa tatatertib universiti berkenaan 9 Januari lalu atas
dakwaan terbabit dengan perhimpunan menuntut kebebasan akademik pada 17
Disember tahun lalu.
6
September 2013 lalu, dia menerima surat daripada naib canselor
universiti itu memaklumkan dia digantung pelajaran selama-lamanya
sehinggalah kes mahkamahnya selesai.
Muhyiddin
berkata, mahasiswa digesa menggunakan platform dan saluran yang sedia
ada serta berasaskan pertimbangan yang bijaksana dan waras, bukannya
secara melulu sehinggakan mencemarkan imej institusi pengajian.
“Kita
berharap juga perubahan dan kelonggaran yang diberi ini dapat
dimanfaatkan oleh pelajar dengan tindakan berasaskan pertimbangan yang
waras dan bijaksana.
“Kalaupun
ada apa isu atau permasalahan, mahasiswa boleh gunakan banyak platform
sedia ada sama ada di peringkat universiti, kementerian atau pun
kerajaan dengan saluran tertentu boleh digunakan untuk mengemukakan
pandangan secara tertib dan berdisiplin dengan cara yang baik,” katanya.
Senada
dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Naib Canselor UPSI, Datuk
Zakaria Kasa juga menggesa pelajar menghargai bantuan yang diberikan
oleh kerajaan kepada pelajar.
“Saya gesa
semua pelajar UPSI menghargai bantuan yang diberikan kerajaan untuk
meringankan beban pelajar,” kata Zakaria semasa majlis sama di kampus
UPSI, Tanjung Malim.
Adam Adli
mencetus kontroversi selepas terlibat dalam demonstrasi mahasiswa turun
bendera Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak pada 2011.
Pada Mei
lalu, Adam Adli didakwa di bawah Akta Hasutan kerana mempertikaikan
keputusan pilihan raya umum ke 13 semasa Forum 13 Mei.
Beliau didakwa mengajak rakyat ke jalan raya untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Adam Adli
mendakwa, tindakan universitinya ini bermotif politik dan universiti
mengenepikan segala prosedur ketika menjatuhkan hukuman ke atasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan