Ada di antara mereka, termasuk yang terpelajar,
yang berpendapat perjuangan Umno untuk bangsa, agama dan negara tidak
lagi relevan.
PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamed berkata pandangan pemuda Melayu hari ini tidak sama seperti pandangan generasi yang membentuk dan menentu matlamat perjuangan Umno.
“Kita dapati ada di antara mereka, termasuk yang terpelajar, yang berpendapat perjuangan Umno untuk bangsa, agama dan negara tidak lagi relevan.
“Mereka berpendapat perjuangan untuk bangsa Melayu adalah lapuk dan ketinggalan zaman,” tegas bekas perdana menteri keempat itu dalam artikelnya yang disiarkan dalam Mingguan Malaysia hari ini.
Menurut Dr Mahathir, golongan muda percaya sokongan kerajaan kepada bangsa Melayu memalukan dan tidak adil kepada bangsa lain.
“Yang aneh ialah mereka sendiri berjaya dalam kehidupan mereka kerana menikmati dasar kerajaan untuk menolong mereka. Setelah mereka mengecapi nikmat ini mereka tidak ingin generasi susulan mendapat nikmat yang sama,” jelasnya.
Menurutnya, beliau telah berjumpa dan berbincang politik dengan beberapa daripada mereka (muda-mudi Melayu yang berpendidikan Barat).
“Maklumat berkenaan politik amat berkurangan dan nilai-nilai Barat telah diserap (ke dalam) pemikiran mereka; nilai-nilai Barat berkenaan konsep persamaan (equality), hak asasi manusia dan konsep keadilan Barat.
“Tanpa mengambil kira keadaan di negara ini, terutama berkenaan ketidakseimbangan kedudukan antara kaum, mereka luahkan sahaja konsep-konsep Barat yang mengagumi mereka.
“Kalau mereka ini menyertai Umno, besar kemungkinan Umno akan bertukar menjadi parti yang tidak lagi berjuang untuk bangsa, agama dan tanah air tetapi parti liberal ala Barat,” jelas beliau.
Kedudukan Melayu sebenar
Dr Mahathir menegaskan, “orang Melayu belum boleh liberal dengan sedikit sahaja yang ada pada mereka.
“Oleh itu jika kita ingin terima mereka (dalam barisan kepimpinan), mereka perlu diberitahu akan kedudukan orang Melayu yang sebenar. Bagi mereka kursus politik Melayu dan perjuangan Umno mestilah diadakan.
“Mereka perlu diberitahu akan ketidakseimbangan kedudukan antara kaum supaya perjuangan untuk
mengurangkan keadaan ini dan matlamat untuk bangsa, agama dan negara dapat diteruskan,” tegas beliau.
Namun beliau mengakui bahawa penyertaan mereka akan memberi darah baru kepada parti yang disifatkannya sebagai sudah tua kerana kini berusia 67 tahun.
“Lebih cekap dan layak mereka terutama dalam berbagai bidang profesional, lebih banyak sumbangan dapat mereka beri kepada parti.
“Dan sudah tentu Umno akan terus bermaya jika yang tua dari ahli dan pemimpinnya diganti dengan yang muda,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan