Dr Mahathir menulis dalam blognya beberapa hari lepas dan memberikan anggapan yang UMNO sedang menghadapi penyakit tua dan akan mati tidak lama lagi. UMNO tidak lagi menggalakkan penyertaaan orang muda-muda dan yang tua-tua tidak mahu berundur bagi memberi tempat kepada yang muda-muda untuk mendapat tempat.
Tetapi keadaan ini bermula dari beliau mengambil alih kuasa negara dan beliau telah membunuh kerjaya pemimpin-pemimpin yang muda lagi berwibawa semasa beliau mula mengambil tempat kepimpinan parti dan negara ini. Malahan itulah tindakan yang mula-mula dilakukan oleh Dr Mahathir semasa beliau mula mengambil alih jawatan Perdana Menteri dari Hussein Onn. Mana-mana pemimpin yang beliau anggap akan mencabar kewibawaan beliau telah beransur-ansur diketepikan secara sistematik.
Beliau tidak mahu sesiapa yang cerdas di sekeliling beliau semasa
menjadi Perdana Menteri. Kesalahan dan kelemahan mana-mana pemimpin yang
bersama beliau adalah asset politik kepada beliau dan mudah bagi beliau
menentukan politik mereka itu. Beliau tidak seperti pemimpin sebelum
beliau yang menggalakkan dan mendidik pemimpin-pemimpin pelapis yang
berwibawa.
Hasil kerja tangan beliau yang nyata pada hari ini ialah apa yang kita
lihat pada hari ini. Kalau beliau mendidik dengan jujur kepimpinan
partinya masakan pemimpin seperti Abdullah Badawi dan Najib menjadi
pewaris kepada kepimpinan beliau. Dr Mahathir sendiri menganggap
pemimpin partinya sebagai ‘Red Indians’ sahaja dan beliau tidak mahu
pemimpin-pemimpin yang benar-benar berwibawa berada di dalam kabinetnya.
Beliau hendak berkuasa seorang diri tanpa sesiapa yang berani
menasihati beliau.
Pemimpin didikan pucuk pimpinan Tun Razak dan Tunku Abdul Rahman yang
berusia sepuluh atau dua belas tahun lebih muda dari beliau pun beliau
bunuh secara halus dan ini sudah menjadi budaya kepada UMNO dan pucuk
pimpinan sendiri. Beliau sendiri duduk di kerusi kuasa selama 22 tahun
dan dalam menduduki kerusi kuasa lebih dua dekad itu beliau telah
melakukan segala-galanya untuk mempertahankan keenakkan kuasa itu.
Untuk mengelakkan yang lebih muda dari beliau mengambil alih
kepimpinan, beliau telah membunuh partinya sendiri dan telah
menghancurkan semua sistem dan institusi demokrasi dan sakitnya
dirasakan oleh ramai sehingga ke hari ini. Seburuk-buruk pimpinan UMNO
selepas ini tidak akan ada yang akan sanggup melakukan apa yang Dr
Mahathir telah lakukan untuk mengekalkan kuasa. Kos untuk mengekalkan
kuasa untuk Mahathir begitu mahal harganya.
Kata-kata Dr Mahathir itu sebenarnya adalah untuk dirinya sendiri,
bukannya untuk diri mereka yang mewarisi kepimpinan beliau. Malahan
kelemahan kepimpinan selepas beliau bersara itu adalah hasil kerja
tangan beliau sendiri. Semasa pimpinan beliau hanya beliau sahaja yang
dibenarkan berfikir untuk yang ramai. Tugas dan tanggungjawab yang lain
hanyalah untuk mengangguk dan mengiyakan sahaja apa yang beliau katakan
dan lakukan.
Berkata-kata benar adalah salah dan memberikan pandangan yang berlainan
dari pandangan beliau dianggap sebagai tidak menyokong beliau.
Pandangan dari Perdana Menteri yang bersara tidak di indahkan tetapi
beliau tidak berpuas hati jika Perdana Menteri-Perdana Menteri selepas
beliau tidak mendengar kata-kata beliau.
Sekarang beliau menyebut tentang penyertaan pimpinan muda dalam UMNO
yang beliau pernah lakukan. Sekarang ini beliau menuduh yang pimpinan
sekarang tidak mahu membawa pemimpin pelapis yang muda pula. Mungkin
kerana beliau mempunyai zuriat yang masih muda dan ingin mencelah untuk
menjadi pemimpin negara membuatkan beliau bercakap tentang penyertaan
pihak yang muda dalam kepimpinan UMNO. Dalam nafas yang sama beliau
tidak bersetuju dengan Khairy Jamaludin, seorang lagi pemimpin muda
yang sedang berusaha mengasah kepimpinan beliau dalam negara.
Pendeknya Mahathir mahukan yang tua itu hanya untuk beliau dan yang
muda pula adalah anak dan generasi keluarga beliau sahaja. Bagi saya
UMNO biarlah dibina oleh ahli-ahlinya sendiri dan bukannya oleh mereka
yang mempunyai agenda untuk keluarga dan peribadi mereka sendiri. Tidak
ada pihak yang ingin menyekat kenaikan Mukhriz kerana ini demokrasi.
Tetapi Mukhriz tidak akan terlepas dari bersalah-salahan dengan
ahli-ahli UMNO yang ramai dan beliau wajar menerimanya dengan terbuka.
Mukhriz tidak boleh mengikut cara bapanya yang sentiasa tidak mahu
mendengar pandangan lain dari pandangan beliau sendiri. Mendengar
pandangan lain itu adalah haram bagi Dr Mahathir kerana beliau
mengganggapkan hanya pandangan beliau sahaja yang betul.
Tetapi itu hak beliau untuk memberikan pandangan tetapi setiap ahli
mempunyai pandangan sendiri dan boleh menilai semua yang kehadapan
memperagakan diri mereka untuk duduk dibarisan kepimpinan negara. Hanya
yang penting mereka jangan dengan tidak sengaja terperaga
kelemahan-kelemahan yang nyata dalam proses kempen- mengempen itu.
Sesiapa sahaja yang mempunyai kesihatan yang baik dan tidak bercakap
seorang diri serta tidak bankrap atau terlibat dengan sodomi sex dan
terlibat dengan rasuah sememangnya boleh menawarkan diri untuk menjadi
pemimpin.
Biarkan ahli-ahli yang ramai untuk menentukan siapa yang hendak mereka
mandatkan. Siapa pun boleh di pilih, lagi pun yang terpilih dan tidak
terpilih itu pun dari kumpulan yang sama kemampuannya, pemikirannya
serta sikap dan moralnya.
Ramai yang berkata jika Najib boleh terpilih sebagai PM, yang lain pun
tidak ada sebab tidak boleh dipilih. Kata orang tua-tua, yang menang
panjat bendul dan yang kalah panjat tiang. Sama sahaja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan