| Harakahdaily, |
|
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak perlu menyatakan pendirian yang tegas dalam isu kezaliman yang menimpa rakyat Mesir untuk membuktikan bahawa Malaysia benar-benar bebas daripada penjajahan.
Penolong Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib berkata, sebagai sebuah negara Merdeka Malaysia sewajarnya berani menyatakan pendirian tanpa perlu takut kepada mana-mana pihak.
"Apalah ertinya kita mencapai umur kemerdekaan yang ke-56, jika kita tidak mampu bersuara dan menyatakan pendirian sendiri dengan yakin dan berkesan?
"Sebagai Kerajaan yang berdaulat, Malaysia seharusnya mengambil langkah proaktif untuk membantu menyelesaikan konflik yang berlarutan di negara itu," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau lagi, perdana menteri perlu sedar, bahawa isu Mesir adalah isu sejagat, lebih-lebih lagi umat Islam di Mesir adalah saudara seagamanya.
Malaysia juga katanya, perlu berasa bersalah dan malu kerana tiada tindakan yang berkesan dan signifikan yang telah kita lakukan sebagai tanda prihatin kita terhadap nasib rakyat Mesir, khususnya umat Islam.
"Jika kita mendabik dada, kononnya Malaysia negara Islam contoh, maka inilah masa yang tepat untuk membuktikan katakata tersebut.
"Keamanan dan kemerdekaan bukanlah sekadar nikmat dan anugerah yang perlu disyukuri, bahkan ianya adalah amanah dan tanggungjawab yang perlu dipelihara serta dilaksanakan sebaik mungkin.
"Sebagaimana kita gembira dan berbangga dengan kemerdekaan, keamanan dan keharmonian yang kita kecapi, seperti itulah rakyat Mesir mahukan kemerdekaan, keamanan dan keharmonian untuk negara
mereka," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan