HALAMAN SANTAI

Khamis, 26 September 2013

SAMM persoal anak Nazri Aziz beli banglo RM7 juta


SAMM pc chegu bard badrul hisham 02


PETALING JAYA : NGO Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mahu Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz menjelaskan dakwaan skandal pembelian banglo mewah bernilai RM7.2 juta.

Penyelaras SAMM Badrul Hisham Shaharin mendakwa, pihaknya menerima dokumen pembelian banglo tiga tingkat itu dibuat atas nama anak lelaki Ahli Parlimen Padang Rengas, Mohamed Nedim Mohamed Nazri.

“Bagi anak yang sangat muda dan setelah diteliti pekerjaan atau perniagaannya, adalah amat meragukan dari sudut kemampuan.

“Bagaimana anak menteri ini punya kemampuan untuk membeli banglo dengan harga yang sedemikian tinggi,” katanya yang dipetik Free Malaysia Today hari ini.

Melalui sumber rekod Jabatan Hasil Dalam Negeri, Badrul berkata, wujud keraguan bagaimana Mohamed Nedim mampu memiliki kediaman mewah itu  berbanding pendapatan yang diisytiharkannya.

“Dalam proses membeli rumah mewah ini, pembeli menikmati diskaun RM500,9444.08 (-7%) selaku Bumiputera.

“Orang biasa termasuk pimpinan Umno di peringkat cawangan yang gila–gila pertahankan Umno ada yang menikmati diskaun tak sampai RM10,000 atas nama Bumiputera ketika membeli rumah kerana itulah sahaja kemampuan orang biasa,” katanya.

Badrul berkata, dokumen itu diperolehinya sejak bulan lalu daripada pihak tidak dikenali lengkap dengan salinan sebut harga, perjanjian dan gambar aset.

Beliau tidak menolak kemungkinan dokumen itu sengaja dibocor kerana ada kaitan dengan pertembungan dalaman Umno menjelang pemilihan Oktober depan.

Katanya,  Nazri perlu menjawab bagaimana anaknya mampu membeli aset sedemikian ketika generasi muda bergelut dengan peningkatan kos hidup dan dihimpit pelbagai masalah kewangan.

“Adakah dia membeli dengan tunai? Jika melibatkan pinjaman bank berapa banyak pinjaman dibuat dan berapa jumlah tunai yang dibayar? Bagaimana bank boleh beri kelulusan bernilai jutaan ringgit kepadanya?” katanya.- FZL

Tiada ulasan: