![]() |
Oleh A Kadir Jasin
NAMPAKNYA satu demi satu masalah, kontroversi dan tanda tanya timbul mengenai pentadbiran
negara kita.Saya teringat kepada kata dua saya kepada seorang bekas
pemimpin Pemuda Umno Perak. Ketika itu negara mula kacau-bilau di bawah
pentadbiran (Tun) Abdullah Ahmad Badawi.
Saya katakan kepada beliau, kalau atau apabila Allah Taala turunkan bala ke atas seseorang pemimpin, semua rakyat jelata akan menerima akibatnya.
Nampaknya bala itu berterusan. Bunuh, rompak, ragut, rogol, rasuah dan
salah guna kuasa, masalah ekonomi, pengangguran dan bencana alam terus
berlaku atau mungkin lebih buruk daripada zaman Abdullah.
Terbaru, pegawai undang-undang nombor satu negara iaitu Peguam Negara
(AG), Abdul Gani Patail, kembali menjadi bahan kontroversi apabila
beliau didakwa melakukan “misconduct” (salah laku) yang
merugikan negara, termasuk kehilangan Pulau Batu Putih kepada Singapura
pada tahun 2008. Abdul Gani menjadi AG sejak 2002.
Pada 6 November, sekonyong-konyong, portal berita Malaysiakini
menyiarkan berita sensasi berdasarkan satu pertemuan yang dikatakan
mengambil tempat di kediaman bekas Perdana Menteri, (Tun) Dr Mahathir
Mohamad, kira-kira tiga bulan lalu. Kalau berminat, boleh baca lanjut di sini.
Pertemuan itu dikatakan membabitkan Dr Mahathir, peguam kanan Mohd
Shafee Abdullah, bekas Pengarah Siasatan Jenayah (CID) Kuala Lumpur, Mat
Zain Ibrahim, bekas setiausaha politik Dr Mahathir, Matthias Chang, dan
bekas Pengarah Siasatan Jenayah Perdagangan, Ramli Yusuff.
Dalam laporannya, Malaysiakini mendakwa selain kekalahan Malaysia dalam
timbang cara Mahkamah Pengadilan Antarabangsa di Hague, Belanda
mengenai Pulau Batu Putih, “misconduct” beliau yang lain
termasuklah kes mata lebam Anwar Ibrahim pada tahun 1999. Abdul Gani
adalah ketua pendakwa kes liwat pertama Anwar tahun 1998.
Dalam kes mata lebam Anwar itu, pegawai penyiasatnya adalah Mat Zain.
Akibatnya, bekas Ketua Polis Negara, Abdul Rahim Noor, didakwa
mencederakan Anwar, sabit kesalahan dan dipenjarakan.
Walaupun media arus perdana pro-kerajaan mungkin tidak menyiarkan
kontroversi terbaru mengenai Abdul Gani itu, tetapi ia sudah tersebar
luas dan dibahaskan dengan hangat dalam media baru. Hari ini lebih
banyak orang membaca dan percaya media baru.
AG Kalah Banyak Kes
![]() |
| Abdul Gani Menjadi AG sejak tahun 2002 |
Lebih-lebih lagi ia muncul di saat-saat beliau sedang merayu kepada Mahkamah Rayuan terhadap pembuangan kes liwat kedua Anwar.
Kata beliau, tidak ada gunanya berhimpun di rumah seseorang dan mencaci orang lain tanpa mengambil tindakan susulan.
"Kita bercakap mengenai seorang yang memegang jawatan awam yang berpengaruh dan besar kuasanya.
“Beliau adalah ketua penasihat undang-undang kepada kerajaan dan dilantik mengikut perlembagaan oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri," tegas Abu Talib.
Hari ini, Malaysian Insider mengubah nada ceritanya dengan menyiarkan berita yang memetik Mat Zain sebagai berkata beliau membuat tuduhan salah laku ke atas Abdul Gani selepas kerajaan gagal bertindak terhadap akuan bersumpah (SD) beliau. SD itu mengandungi sejumlah aduan terhadap AG.
Menurut Malaysian Insider, pendedahan awal Mat Zain ketika perjumpaan di kediaman Dr Mahathir berhubung salah laku Abul Gani hanyalah dua muka surat sahaja daripada 31 muka surat dalam akuan bersumpahnya.
Mat Zain berjanji akan melakukan lebih banyak pendedahan dan tidak menolak kemungkinan mengemukakan SD itu kepada mahkamah.
“SD saya dibuat mengikut Akta Akuan Bersumpah 1960 dan ia boleh digunakan dalam mana-mana prosiding kehakiman, sama ada sivil atau jenayah. Dalam urusan itu, SD akan dikira sebagai dokumen awam.
“Kerajaan sudah menerima SD saya lebih sebulan lalu,tetapi mereka tidak bertindak terhadapnya. Mereka memilih untuk terus senyap,” katanya kepada Malaysian Insider. (Baca di sini).
Salinan SD yang difailkan pada 7 Oktober itu dihantar kepada Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak, Ketua Setiausaha Negara, Dr Ali Hamsa, Peguam Cara Negara, Idris Harun dan Ketua Polis Negara, Abdul Khalid Abu Bakar.
“Dalam surat iringan, saya memberitahu mereka saya mempunyai hak untuk mengambil apa sahaja tindakan yang sesuai dengan undang-undang tanpa perlu memberitahu sesiapa.
“Saya juga memberitahu yang saya ada hak untuk mendedahkan SD kepada umum melalui mana-mana ahli Parlimen.
“Tidak terdapat tindakan daripada mana-mana pihak dan sebab itu saya dedahkan sebahagian daripada SD itu,” katanya.
Wibawa Penjawat Tertinggi Dipertikai
Episod baru membabitkan Abdul Gani ini adalah antara kemelut yang dihadapi oleh kerajaan amnya dan Mohd Najib khususnya bersabit pelantikan pegawai-pegawai teratas atau penyambungan kontrak mereka yang berulang kali setelah tempuh mereka bersara lama berlalu.
Amalan menjadikan beberapa jawatan teratas dalam Perkhidmatan Awam dan badan separa kerajaan, seperti Bank Negara, sebagai “personel-to-holder” (khas untuk penyandang) telah membawa kepada kealpaan, kelekaan dan persekongkolan di mana mereka saling lindung-melindungi.
Ada pesara yang diberi lanjutan jawatan hingga lima tahun yang tidak pernah diamalkan sebelum ini.
Turut dikhuatiri ialah penjawat seperti itu menggunakan maklumat dan rahsia kerajaan sebagai senjata, penawar dan pendinding bagi memanjangkan usia kerjaya dan melindungi mereka daripada tindakan tata-tertib dan undang-undang.
Sementara itu, akibat monopoli jawatan oleh penyandang tertentu menyebabkan proses pewarisan jawatan terbantut atau terhenti terus.
Banyak pegawai yang layak dan sampai waktu mengambil alih tidak dinaikkan pangkat atau dipindahkan ke tempat lain. Ada yang pencen tanpa sampai ke jawatan dan gred yang menjadi hak mereka. Ini adalah antara punca banyak kakitangan awam tidak puas hati terhadap kerajaan.
Wallahualam.http://kadirjasin.blogspot.com/


Tiada ulasan:
Catat Ulasan