PENARIKAN diri Datuk Husam Musa dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man merebut jawatan Timbalan Presiden Pas seakan memberi memberi tuah kepada Timbalan Menteri Besar Kelantan, DATUK MOHD AMAR merebut jawatan itu.
Daripada calon yang dikatakan tidak mendapat tempat dalam undi di peringkat pimpinan tertinggi, kini nama Mohd Amar sudah mula disebut-sebut mampu bersaing sengit dengan penyandang kerusi nombor dua parti, Mohamad Sabu yang dilihat tidak berada dalam keadaan terbaik untuk mempertahankan jawatan itu. Bagi mengupas isu-isu semasa termasuk tugasnya di Kelantan, Sinar Harian melalui Ketua Biro edisi, Mohd Zailani Abd Rahman mengadakan temu ramah eksklusif di pejabatnya baru-baru ini. Ikuti transkrip penuh wawancara itu.
Sejauh mana kempen dan sokongan terhadap pencalonan Datuk ketika ini?
Sepertimana sebelum ini, saya memang tidak berkempen, sebab pertama saya kira hampir semua perwakilan mengenali saya dan Mohamad Sabu. Mereka tahu kelemahan dan kelebihan kami, dan saya serahkan kepada kebijaksanaan dan kematangan perwakilan untuk buat pilihan. Saya juga tidak berkempen kerana tidak mahu sentuh hal peribadi, sebab kalau kempen kita tak sedar akan menyentuh peribadi, jadi perkara tersebut tidak eloklah.
Itulah sebabnya saya tidak kempen tetapi ada kawan-kawan bantu, yang menolong secara sukarela, secara keseluruhan nampak ada sambutan positif dari negeri. Insya-ALLAH mereka boleh terjemahkan dalam bentuk undi.
Setakat ini, bagaimana peluang untuk menang?
Untuk praktikal, kita letak 50-50 Sempena dengan Muktamar Pas ini, akan ada usul sensitif daripada perwakilan seperti kajian semula kerjasama Pas dalam Pakatan Rakyat.
Saya sendiri tidak tengok lagi usul itu secara tertulis, apa yang nak dibangkitkan kita pun tak tahu lagi, cuma kalau kita tengok ada cadangan resolusi Multaqa Ulamak baru-baru ini, saya melihat dari sudut positif, bukan kita kata kita nak keluar dari Pakatan Rakyat (PR), isu kita menyertai PR telah diputuskan muktamar. Tiada individu yang boleh mengubah keputusan muktamar ini, cuma saya melihat resolusi itu lebih kepada aspek menilai kembali kedudukan dan menilai kembali kerja. Mungkin ada kelemahan dari segi strategi, jadi inilah yang nak dilihat, kita bukan nak keluar tetapi kita kaji kedudukan, melihat di mana kesilapan, kekurangan dan mungkin ada aspek yang mungkin boleh dibaiki, ada sikap kita yang mungkin boleh
diperkemas.
Isu besarnya ialah Pas paling sikit kerusi berbanding DAP dan PKR, jadi bagi saya ini satu isu yang serius. Kalau Pas nak perkasakan PR, Pas mesti mendapat kerusi yang banyak, sebab kita tidak boleh memerintah Malaysia selagi kita tidak boleh pecahkan penguasaan politik Umno dalam kalangan orang Melayu. Pas ini sudah dipersetujui untuk bertanding di kawasan orang Melayu, PKR bertanding di kawasan campuran, DAP pula bertanding di kawasan yang majoritinya Cina, jadi setiap parti ini ada peranan masing-masing untuk memberi sumbangan kerusi itu untuk memastikan PR menang. Kalau Pas gagal ambil alih kerusi majoriti Melayu, kita tidak boleh membantu PR menang di Putrajaya, itu yang kita fikirkan, bukan isu kita nak ketepikan undi Cina atau apa, selagi kita tidak boleh kalahkan Umno di kawasan Melayu, sampai bila pun kita tidak boleh menang di Putrajaya. Mungkin inilah yang resolusi tersebut nak tengok kenapa ia boleh jadi macam ini, kenapa kita tidak boleh mendapat kepercayaan orang Melayu, kenapa kita tidak boleh jatuhkan Umno dalam kawasan Melayu, sedangkan DAP berjaya di kawasan Cina, PKR di kawasan campuran. Itu isu yang paling penting.
Ada pendapat mengatakan Pas sudah boleh berdiri sendiri dan tidak lagi memerlukan kerjasama dalam PR?
Kenyataan ini keluar sebab orang tidak menghormati kedudukan dan sensitiviti Pas, itu lebih kepada reaksi. Jadi kalau orang yang tidak memandang penting kepada Pas, maka Pas sudah ada pengalaman berdiri sendiri, kita sudah ada pengalaman kita berdiri sendiri, sejak dulu pun memang kita bersendirian. Waktu kita bertanding sendiri juga kita berjaya menguasai dua negeri, tak ada sejarah pun parti di Malaysia ini, parti yang bertanding sendiri berjaya menguasai dua negeri, DAP boleh menang di Pulau Pinang setelah berada dalam PR. Sebelum ini, DAP tidak pernah menguasai negeri, tapi kita pernah, kita ada pengalaman tersebut. Menang di Kelantan dan Terengganu ketika bersendirian, ini bukan bermaksud kita nak keluar PR, ini lebih berbentuk kepada reaksi, respons kepada apa yang berlaku.
Adakah ia sebagai satu cabaran Pas di masa hadapan untuk sekali lagi tidak bergantung pada PR?
Boleh jadi juga ia sebagai cabaran, sebab saya tidak tahu apa yang tersirat dalam hati orang yang cakap itu, sebab saya menghormati keputusan muktamar. Muktamar telah memutuskan kita berada dalam PR.Tapi itu tidak menghalang kita menilai untuk semak, contohnya kalau kita kahwin, kita bertengkar dengan isteri, maka kita akan adakan perbincangan untuk selesaikan masalah, bukan untuk bercerai, itulah maksudnya sekarang. Jadi perspektif ini yang mesti kita betulkan dulu, kita suka tengok melalui negatif, sepatutnya kita lihat melalui pandangan yang positif.
Isu Karpal Singh benar-benar mencabar Pas dalam membentuk pakatan yang mantap. Adakah Pas merasakan DAP tidak ikhlas bersama pakatan ini?
Saya ingat banyak dah kenyataan jelas berkaitan dengan Karpal Singh ini dan sejak dulu lagi kalau ada Karpal keluarkan kenyataan tentang hudud, saya yang banyak keluarkan respons secara terbuka. Cuma baru-baru ini, oleh sebab saya tidak mendapat maklumat jelas tentang kenyataan sebenar, jadi kita nak cakap lebih pun tak boleh, maknanya kalau betullah dia mencadangkan dibatalkan pendaftarannya, bagi saya ia kenyataan yang tidak boleh diterima. Sebabnya nombor satu, dia tidak menghormati hubungan dengan kita dalam PR. Sebab hal berkait dengan DAP pun kita tidak komen, kalau Pas ini sebuah parti Islam dan kita juga boleh keluarkan kenyataan DAP dibatalkan juga, tapi kita menghormatilah, tidak sepatutnya dia keluarkan kenyataan macam itu.
Keduanya, kenapa kita nak batalkan pendaftaran, sebab Pas ini sudah banyak memberi sumbangan dalam proses demokrasi di Malaysia. Kita mengambil pendekatan yang aman dan demokratik berbanding dengan negara luar yang pastinya mengambil langkah menentang kerajaan secara keras dan kadang-kadang melibatkan senjata. Jadi kita sejak dulu walaupun kita ditekan, dianiayai, ditangkap, kita tetap memilih jalan demokrasi, ini sepatutnya dihormati. Kita bukan sebuah parti politik ekstrem dan kita telah buktikan benda ini. Orang kita kena aniaya, kita masih lagi memilih jalan demokrasi, walaupun kita tak tahu bila nak menang, melalui kaedah demokrasi yang penuh dengan manipulasi dan penipuan, tetapi kita memilih untuk berjuang secara demokratik. Jadi ini satu proses yang besar, bagi kita ini satu sumbangan besar pada proses demokrasi dalam negara yang patut dihormati semua pihak termasuklah Karpal Singh. Jadi itulah yang pentingnya, jika beliau betul-betul mengeluarkan kenyataan tersebut, dia mesti minta maaf kepada Pas secara terbuka.
Adakah ia menjejaskan hubungan jangka panjang dengan DAP?
Saya menganggap ia sebagai kenyataan individu, Karpal Singh sebagai Karpal, bukan mewakili DAP, sebab itu kita fokus jawapan kepada beliau saja, sebab saya percaya, DAP sebagai sebuah parti, dia menghormati Pas, sebab dia tahu sumbangan Pas ini besar walaupun kita dapat kerusi sikit.
Baru-baru ini, pensyarah politik, Prof Agus Yusof membuat kritikan pedas terhadap Kerajaan negeri Kelantan dan susulan itu beberapa pertemuan telah dibuat. Bagaimana perkembangan perbincangan tersebut?
Pertemuan yang positif, banyak cadangan diberikan, ada juga dia bawa cadangan orang lain. Dari perbincangan saya dengan Prof Agus, kita nampak ialah ada perkara iaitu maklumat tentang Kelantan ini tidak sampai kepadanya dan itu mungkin kelemahan siaran kita, sebab kita terhad. Ada benda yang Kelantan buat tapi orang luar Kelantan tidak tahu, itu akan menghasilkan persepsi berbeza dan kita memang akui sebab kita tiada televisyen, surat khabar kita tidak ada, jadi itu kelemahan kita lah, banyak maklumat tidak tersebar. Jadi dia beri cadangan supaya kerajaan negeri ambil perhatian tentang aspek penyebaran maklumat. Melalui perbincangan itu pun banyak benda yang saya beritahu tentang apa yang telah kita lakukan di Kelantan, malah dia kelihatan terkejut dan macam kali pertama mengetahui hal demikian. Ada benda-benda yang tak sampai kepada dia tetapi hasil perbincangan keseluruhan itu positiflah, dia memahami tentang kerajaan dan masalah kita dan sebagainya. Saya cadangkan kepada dia lain kali rujuklah kepada Kelantan dulu, sebelum nak komen, dapatkan dulu komen dari kita, maklumat yang sebenarnya, lepas tu komenlah nak komen apa pun.
Apakah sikap kerajaan negeri di bawah pentadbiran baru ini terhadap Kerajaan Pusat, adakah wujud G to G?
Sikap masa pentadbiran Tok Guru (Nik Aziz Nik Mat) hingga Menteri Besar sekarang terhadap Kerajaan Persekutuan ini sama sahaja, iaitu kita menghormati Kerajaan Persekutuan dan kita sedar kedudukan kita sebagai sebahagian daripada Persekutuan, benda-benda yang kita perlu kerjasama dua-dua pihak, contohnya Kerajaan Pusat minta tanah buat sekolah, hospital dan sebagainya. Kita sedia bincang, kita tidak pernah halang. Sejak dulu zaman Tok Guru semuanya sama sahaja. Cuma zaman Tok Guru tu kalau boleh buat perbandingan, beliau lebih lantang, kenyataan beliau mungkin boleh mendatangkan ketegangan sikit tetapi MB yang baru ini kurang bercakap, yang mana dia suka merendah diri, jadi tak ada lah kenyataan yang sensitif dan kontroversi.
Ini bermakna peluang ke arah kerjasama kerajaan negeri dan Pusat terbuka luas?
Hubungan itu tetap baik, oleh sebab MB sikapnya merendah diri, jadi suasana kelihatan lembut dan kita mendapat respons positif dari Pusat, ada dah dua tiga orang menteri datang ke (pejabat kerajaan negeri) Kelantan. (Bagaimanapun) Kita belum bincang apa-apa perkara serius lagi dan MB dah hantar surat pada PM untuk buat kunjungan hormat, jadi sekarang ini belum ada jawapan yang muktamad lagi, bila-bila pun kita tak tahu lagilah. Mungkin akan ada benda serius kita bincang. Jadi kalau tak ada perjumpaan lagi, kita pun tidak boleh kata apa lah.
Bagaimana dengan status pembinaan stadium dan lebuh raya?
Stadium kita serahkan kepada (Exco Kerajaan Negeri) Datuk Fattah untuk menguruskan hal tersebut, dan kita difahamkan ada beberapa syarikat berminat. Ia masih dalam peringkat perancangan, ia akan terlaksana, cuma belum boleh keluar kenyataan sebab belum ada keputusan akhir. Macam jalan raya itu kita sudah selesai, mungkin tidak lama lagi (Exco Kerajaan Negeri) Datuk Hanifa akan keluarkan kenyataan tentang pembinaan lebuh raya ini secara jelas, mungkin Disember ini.
Sebelum ini terdapat banyak serangan dan kritikan terhadap Datuk termasuk penyokong Pas sendiri berhubung pelbagai isu, daripada soal calon pilihan raya sehingga kepada pemilihan barisan Exco kerajaan Kelantan?
Nombor satu sekali, saya jarang baca blog dan laman sosial. Ada orang beritahu saya macam-macam, kadangkadang saya tengok tetapi sebahagian yang saya tengok itu ialah yang menulis tidak tahu cerita sebenar. Dia mungkin mendengar orang tu cakap dan tulis, sedangkan cerita sebenar dia tidak tahu, jadi itu yang jadi masalah, dan saya pula jenis yang tak suka jawab, lebih-lebih lagi dalam Facebook. Bukan cara saya, sebab bagi saya kalau kerajaan nak jawab semua dalam itu, masa kita akan habis tetapi kalau datang jumpa macam Prof Agus dan NGO Royalti, datang jumpa sampai dua jam lebih, saya nak macam tu. Sesiapa tidak puas hati boleh datang jumpa, saya akan terangkan sekadar mana saya boleh, datang dengan saluran betul. Setakat ini alhamdulillah, banyak benda boleh jelaskan.
Contohnya pemilihan calon dan sebagainya, pelbagai tuduhan saya terima sedangkan ia datang dari jawatankuasa, berdasarkan kajian awal pilihan raya, ini semua yang kita gabungkan pandangan ini dan putuskan dalam mesyuarat. Semua keputusan bukan atas tangan saya, takkan saya boleh kontrol semua keputusan sedangkan kita adakan mesyuarat untuk laksanakan apaapa keputusan. Bukan saya seorang. Cuba fikir secara logik, takkan saya boleh arah Tok Guru, kalau tuduh saya bukan-bukan itu tuduhan liar, kenyataan saya keluarkan berdasarkan bidang tugas saya sebagai Timbalan Menteri Besar. Itulah demokrasinya kita dalam kerajaan, bukannya Menteri Besar seorang nak bercakap semua perkara, kalau dia seorang, apa gunanya kita ada Exco? Sama juga isu pelantikan pentadbiran negeri, semuanya urusan istana, individu terlibat semuanya dah tahu, bukan kita adakan. Bagaimanapun saya tidak simpan dalam hati, sebab itu saya boleh tidur lagi, kalau tidak, saya tidak boleh tidur dengan tuduhan-tuduhan ini. Macam sekarang pun banyak kenyataan saya keluarkan, antara sebabnya Menteri Besar yang meminta saya berbuat demikian, kalau benda itu menteri besar tidak arah, saya tidak buat, dan sebahagian kenyataan yang saya buat adalah berkaitan dengan tugas saya, hal tanah, hal mineral, hal hudud ni pula sebab saya pengerusi jawatankuasa teknikal hudud, jadi saya yang kena bercakap. Bukan kata saya ambil alih tugas, sebab ia secara kebetulan dengan isu itu, ada benda yang penting MB sendiri buat, tetapi kalau tidak dia akan minta saya, bukan MB seorang yang kena bercakap dalam semua perkara. Exco akan bercakap mengikut portfolio masing-masing, takkan semuanya MB nak cakap, apa kerja Exco pula, kadang-kadang ada benda yang kita boleh beritahu dan tidak boleh beritahu, tapi orang ni, semuanya nak tahu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan