Salmiyah Harun
SHAH ALAM: Ucapan dasar Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang disifatkan sebagai satu arahan untuk semua pimpinan PAS supaya berganjak daripada pemikiran lama kepada pemikiran dinamik dan progresif.
Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata, pemikiran seperti ini perlu sebagaimana yang diharapkan PAS agar medan politik yang diperjuangan terjamin pada masa akan datang.
"Apa yang ditekankan oleh Presiden ini bukan sekadar ucapan tetapi ia adalah arahan kepada perwakilan yang harus ditunaikan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily selepas mendengar ucapan dasar Presiden yang bertema 'Rahmat untuk Semua'.
Sementara itu, Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat Siti Zailah tersentuh hati dengan ucapan Presiden yang mengetengahkan tema Rahmat Untuk Semua sesuai dengan agama Islam itu sendiri.
Katanya, Presiden turut menyentuh perkara berkaitan dengan peranan Muslimat yang melahirkan tenaga pelapis untuk meneruskan perjuangan PAS di masa akan datang.
"Peranan ini termasuklah bagaimana muslimat perlu melibatkan diri dengan ilmu untuk mendepani dakwah yang semakin berat.
"Sentuhan Presiden dengan Rahmat Untuk Semua tepat pada masa di mana orang masih lagi curiga dengan Islam, masih berpandangan dengan Islam jadi sesuai dengan masa ini," katanya.
Juster katanya, dalam program 'PAS For All' sebelum ini sudah membuktikan PAS merentasi kaum, budaya dan agama.
"Islam adalah penyelesaian kepada masalah yang dihadapi kepada masyarakat," katanya.
Naib Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Vincent Lee yang ditemui berpendapat para perwakilan perlu memastikan setiap usul dan cadangan dalam Ucapan Dasar Presiden PAS dapat dipraktikkan.
Tambahnya, DHPP antara yang wajar mempraktikkan apa yang diketengahkan oleh Presiden sebagai satu jambatan terutama menghubungkan PAS dengan bukan Islam.
"Jadi saya berharap Muktamar kali ini DHPP dapat diperkasakan dan melaksanakan tanggungjawab yang baru dalam PAS," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan