Tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membuatkan ahli parlimen DAP menghantar satu surat bantahan berhubung kenaikan cukai taksiran sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Kepong.
Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng (gambar), berkata proses penilaian semula yang dilakukan oleh DBKL kononnya disebabkan peningkatan nilai hartanah di Kuala Lumpur tidak dilakukan dengan cara betul dan perlu dikaji semula.
Ahli politik itu menunjukkan dua notis yang dihantar DBKL bertarikh sama kepada pemilik kilang tersebut.
"Pemilik kilang ini membayar cukai taksiran RM900 dengan taksiran tahunan RM9,000 tahun lalu," katanya.
Notis pertama menunjukkan cukai taksiran tahunan kilang itu dinaikkan kepada RM48,600 yang merupakan peningkatan 540% sementara notis kedua menunjukkan peningkatan 886% dan taksiran tahunannya sebanyak RM79,800.
"Inilah kenaikan tertinggi yang pernah saya lihat dalam aduan yang saya terima malah dua nilai yang bercanggah,” katanya.
Lim turut menyelar kaedah DBKL menilaikan hartanah di Kuala Lumpur.
"Dalam pertemuan bersama Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berhubung kenaikan kadar cukai ini, kami diberitahu pihaknya akan memanggil mereka yang berkenaan untuk memeriksa kadar itu.
"Jangan cakap DBKL tiada duit untuk menilai menggunakan khidmat penilai profesional. Ini jelas menunjukkan kelemahan profesionalisme DBKL dan tidak telus dalam isu ini," katanya.
Lim sekali lagi meminta Tengku Adnan menarik balik notis itu secepat mungkin dan mengembalikan kadar asal.
Tengku Adnan semasa pertemuan bersama ahli parlimen Kuala Lumpur pada Khamis berkata,keputusan sama ada kadar itu dapat dikurangkan hanya dapat diketahui selepas DBKL mendengar bantahan pemilik hartanah selepas ia dihantar sehingga 17 Disember ini.
Pada masa ini, kadar bagi hartanah komersial ialah 12%, unit kediaman 6% dan tanah lapang dengan 10%.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan