Pada
akhir Jun 2013, jumlah hutang negara sebanyak RM284.7 bilion atau 28.8%
daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kata Timbalan Menteri
Kewangan Datuk Ahmad Maslan.
Beliau berkata hutang negara ialah hutang yang ditanggung oleh negara
berikutan pinjaman yang diperoleh oleh kerajaan dan swasta daripada
punca luar.
"Hutang negara merangkumi hutang luar negeri Kerajaan Persekutuan,
perusahaan awam bukan kerajaan dan sektor swasta," katanya ketika
menjawab soalan Wong Tien Fatt @ Wong Nyuk Foh (DAP-Sandakan) pada sesi
soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Tambah Ahmad hutang Kerajaan Persekutuan melibatkan hutang yang
ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan daripada sumber dalam dan luar
negeri.
"Sehingga 30 September, 2013, jumlah hutang Kerajaan Persekutuan ialah sebanyak RM529.2 bilion atau 53.6% daripada KDNK.
"Daripada jumlah tersebut sebanyak RM512.3 bilion atau 96.8% merupakan
hutang dalam negeri manakala baki RM16.9 bilion atau 3.2% merupakan
hutang luar negeri," katanya.
Beliau berkata jumlah hutang luar negeri yang rendah itu adalah selaras
dengan dasar kerajaan untuk mengutamakan pinjaman dalam negeri yang
mempunyai kecairan yang tinggi, kos pinjaman yang lebih rendah serta
dapat meminimumkan risiko pertukaran mata wang asing.
Ahmad berkata Kerajaan Persekutuan dari semasa ke semasa memberi
jaminan kepada badan berkanun dan syarikat kerajaan untuk meminjam bagi
membiayai projek-projek pembangunan untuk kepentingan rakyat.
Jaminan ini diberikan mengikut Akta Jaminan Pinjaman (Pertubuhan Perbadanan) 1965.
"Sehingga 30 Jun, 2013, baki pinjaman yang dijamin oleh kerajaan atau
tanggungan tidak langsung ialah sebanyak RM147.3 bilion, yang terdiri
daripada pinjaman domestik RM141.8 bilion (96.3%) dan pinjaman luar
RM5.52 bilion (3.7%) yang melibatkan tiga badan berkanun dan 27 syarikat
berkaitan kerajaan," tambahnya.
Prestasi bayaran balik pinjaman adalah baik dan mengikut jadual ditetapkan tanpa sebarang tunggakan, kata beliau.
"Senarai syarikat-syarikat yang dijamin oleh kerajaan serta jumlah
pinjaman dan terbitan bon boleh dirujuk dalam Penyata Kewangan Kerajaan
Persekutuan yang diterbitkan dan diedarkan di Parlimen setiap tahun,"
kata Ahmad.
Tambah beliau hutang kerajaan tidak boleh dicampurkan dengan jumlah tanggungan tidak langsung.
"Ini kerana jaminan kerajaan bukan merupakan satu bentuk hutang. Ia
adalah merupakan tanggungan tidak langsung kepada kerajaan. Kerajaan
hanya perlu menanggung hutang tersebut sekiranya peminjam gagal untuk
membayar balik," katanya.
Menurut Ahmad, fakta berkenaan dijelaskan dalam dokumen yang
diterbitkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) iaitu “statistik
hutang sektor awam: panduan untuk penyusun dan pengguna”.
"Dari segi piawaian perakaunan, tanggungan tidak langsung tidak boleh
diikat dengan hutang memandangkan ketidaktentuan mengenai tanggungan
tersebut, sama ada akan menjadi kenyataan atau tidak (kemungkiran
jaminan tersebut)," katanya.
Tambah beliau, jika tanggungan tidak langsung diambil kira dalam
pengiraan hutang kerajaan, maka ia akan memberikan tanggapan yang salah
dari sudut perakaunan antarabangsa.
"Kita juga seolah-olah memandang rendah keupayaan syarikat-syarikat dan
badan berkanun tersebut untuk membayar balik hutang mereka," jelas
Ahmad.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan