BANGI: Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) mempertikaikan pengetahuan Ahli
Lembaga Pengarah Sister in Islam Datin Paduka Marina Mahathir berkenaan
isu COMANGO yang hangat diperkatakan kini.
Menurut Timbalan Presidennya, Aminuddin Yahaya adalah mustahil untuk
anak mantan perdana menteri itu tidak mengetahui perkara yang berlaku
melibatkan organisasi pimpinannya.
Beliau turut menegaskan, pihak ISMA akan mendedahkan bukti melibatkan
Marina dalam masa yang sesuai selepas timbulnya amaran dari pihak SIS
untuk menyaman ISMA.
"Kita tengok, bergantung kepada keperluan masa. Misalnya jika ada
keperluan perkara ini akan kita dedahkan kepada media," jelas beliau di
dalam sidang media di Ibu Pejabat ISMA hari ini.
Selain daripada itu, Aminuddin menjelaskan bahawa Marina sebagai salah
seorang daripada pengarah SIS, pastinya maklum dengan segala pergerakan
badan itu termasuk keterlibatan dalam tuntutan yang dibawa COMANGO.
Malah katanya penafian yang dinyatakan lima hari lalu oleh Marina
dilihat sebagai satu perkara yang sangat kontradik sebagai seorang
pengarah dan ini memungkinkan sokongan SIS dalam membawa tuntutan itu.
"Tetapi umum mengetahui Sister in Islam memang terlibat dalam tuntutan
COMANGO ini dan beliau selaku pengarah ataupun pemimpin kepada Sister In
Islam maka secara langsung atau tidak langsungnya sudah pasti terlibat
di dalam proses menghantar tuntutan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu (PBB).
"Kita melihat begini, sebagai pemimpin dan sebagai ahli lembaga
pengarah dalam sebuah NGO, atau syarikat atau mana-mana organisasi,
adalah tidak logik untuk kita tidak tahu tidak faham dan tidak terlibat
sama ada secara langsung atau tidak langsung.
"Kemungkinan secara terperinci itu mungkin...biasalah, tidaklah bos nak
buat secara terperinci, mestilah kerani dan sebagainya menulis, tetapi
dalam perbincangan dalam keputusan-keputusan..sudah tentu beliau maklum
dengan apa yang berlaku, kalau tidak tidak mungkin beliau boleh
melabelkan diri sebagai pengarah ataupun ahli lembaga pengarah dalam
pertubuhan itu, itu satu perkara yang saya rasa luar biasa kalau itulah
kefahaman yang beliau maksudkan," tambahnya lagi.
Selepas pendedahan yang dilakukan ISMA berkenaan keterlibatan SIS dalam
tuntutan COMANGO, Marina menuntut ISMA untuk menarik balik dakwaan
"fitnah" yang mengaitkan beliau dengan dengan gabungan hak asasi manusia
yang dilabel 'anti-Islam' tersebut.
Walau bagaimanapun, ISMA mempertahankan kenyataanya yang mengaitkan
anak sulung mantan perdana menteri itu dengan menegaskan pihaknya
mempunyai bukti yang cukup untuk memperlihatkan sokongan Marina terhadap
gerakan COMANGO.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan