|
Dr Khalid berbual dengan Dr Zulkifli selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah di Masjid An-Nikmah Bukit Piatu.
MELAKA: Sekalipun tidak mendapat respons yang memuaskan daripada pihak kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah rakyat, namun Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Baru, Dr Md Khalid Kassim akan terus membangkitkan isu berkenaan pada persidangan Dun.
Masalah kemudahan infrastruktur yang dihadapi penduduk setempat seperti jalan terbengkalai, parit tersumbat, banjir kilat, sampah sarap dan seumpamanya masih tidak mendapat perhatian daripada pihak terbabit walaupun aduan sudah dibuat.
Justeru, beliau mengharapkan jabatan berkenaan mahupun pihak berkuasa tempatan dapat mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah dialami penduduk sejak sekian lama.
“Kadang kala kita mengadakan gotong royong membersihkan kawasan kerana tidak mendapat kerjasama daripada pihak-pihak terbabit,” ujarnya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah di Masjid An-Nikmah, Bukit Piatu dekat sini, malam tadi.
Pada majlis itu, pendakwah terkenal, Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri menyampaikan kuliah bertajuk Rosaknya Aqidah di samping pelancaran mengumpul dana untuk membaiki bumbung dan membina menara masjid.
Menurut Adun pertama PAS di Melaka itu, jawapan yang diterima daripada kerajaan negeri berhubung isu berkenaan agak mendukacitakan.
Beliau berkata, kerajaan negeri bersikap acuh tak acuh untuk menyelesaikan kesulitan yang dihadapi oleh penduduk di Dun Bukit Baru itu.
Begitupun, Dr Md Khalid bersikap terbuka dalam menghadapi karenah kerajaan negeri mengenai isu penduduk yang disampaikan secara langsung itu di samping menyalurkannya pula kepada jabatan dan agensi kerajaan terbabit untuk diselesaikan.
Sehubungan itu, pihaknya mengatur program lawatan rasmi bertemu dengan jabatan-jabatan kerajaan dan NGO.
Katanya, pihak Pusat Khidmat Masyarakat Adun Bukit Baru juga akan mengaturkan beberapa program khusus seperti lawatan rasmi ke jabatan-jabatan kerajaan, pertemuan dengan NGO dan sebagainya.
Dalam pada itu, beliau meneruskan aktiviti menyampaikan sumbangan sama ada kepada penduduk mahupun masjid dan surau dalam kawasan Dun Bukit Baru.
Menurutnya, program sumbangan untuk rakyat miskin, anak yatim dan sebagainya diteruskan bagi meringankan sedikit bebanan hidup mereka.
Sehubungan itu, beliau mengharapkan sumbangan daripada orang ramai bagi melaksanakan aktiviti kebajikan di Dun Bukit Baru.
Sumbangan boleh dibuat atas nama Tabung Dana Dun Bukit Baru melalui akaun Maybank 554026265358 atau BIMB 04015010064536.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan