Nurul Izzah Anwar  
Nurul Izzah Anwar


KUALA LUMPUR - PR  sekali lagi mengulangi pendirian perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPP) akan memberi kerugian besar terhadap negara dan mendesak kerajaan tidak menandatangani perjanjian berkenaan.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mendakwa, TPP akan membuka peluang kepada pelabur asing untuk mendapat layanan sama rata seperti syarikat tempatan.

Dakwa beliau, apa yang membimbangkan, negara bakal berhadapan risiko disaman pelabur asing di bawah Sistem Penyelesaian Pertikaian Pelabur-Negara (ISDS) yang berpihak kepada mereka dan boleh membawa kerugian besar.

“Jadi kita tidak boleh bersetuju selagi perjanjian TPP ini dijalankan secara rahsia. Keduanya, (diketahui), mekanisme mahkamah baharu akan diperkenalkan ISDS bermaksud semua negara yang berjanji untuk bersama dalam TPP terpaksa berada di bawah mahkamah sistem baharu ini.

“Sistem baharu ini memberi ruang kepada pelabur asing menyaman negara kita sekiranya mereka merasakan tidak diberikan layanan yang sama taraf dengan syarikat lain,” dakwanya pada sidang media di bangunan Parlimen, semalam.

Nurul Izzah turut mendakwa, PR sudah mendapatkan pandangan pakar yang mempersoalkan sama ada Malaysia bersedia berada di bawah telunjuk mahkamah asing dan menidakkan kewibawaan mahkamah tempatan.