| Harakahdaily, |
|
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini dimaklumkan bahawa kerajaan belum membuat sebarang keputusan berhubung cadangan agar prosiding mesyuarat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) disiar secara langsung oleh RTM.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kasim berkata, kabinet bagaimanapun telah dimaklumkan perkara itu namun belum membuat keputusan.
"Kabinet telah dimaklumkan berhubung prosiding PAC dibuat secara live, tetapi belum membuat apa-apa keputusan.
"Menteri Penerangan juga telah menjelaskan bahawa pihaknya tidak ada masalah.
"Tetapi perkara ini perlu kepada kelulusan Jawatankuasa Pilihan Parlimen yang dipengerusikan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat sebelum boleh dilaksanakan," katanya.
Terdahulu, Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang menanyakan keputusan kerajaan berhubung perkara itu yang telah dicadangkan beberapa bulan lalu.
Sementara itu, Ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Mohamad Yusoff turut bertanya kepada kerajaan berhubung langkah yang diambil bagi menangani masalah ketirisan dana negara seperti didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara.
Mengulas perkara itu, Shahidan berkata, pihak kerajaan telah mengambil pendekatan mwngenakan tindakan tatatertib kepada pegawai kerajaan yang terlibat termasuk dengan memberi amaran, gantung dan buang kerja.
Bagaimanapun katanya, kes-kes yang membabitkan siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diserahkan sepenuhnya kepada suruhanjaya iti untuk membuat tindakan lanjut.
Berhubung persoalan kenapa laporan kewangan Petronas tidak dibentang dalam Parlimen pula, beliau hanya berkata akan memberi jawapan secara bertulis kepada Siti Zailah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan