HALAMAN SANTAI

Selasa, 19 November 2013

Kami bukan mahu masuk tetapi sudah lama di Sarawak, kata Perkasa

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK




















Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menafikan dakwaan portal berita hari ini yang mendakwa pertubuhan itu akan menubuhkan cawangan Perkasa di Sarawak setelah mendapat sambutan yang memberangsangkan oleh ahlinya di Sabah.

Setiausaha Agungnya, Syed Hassan Syed Ali (gambar) berkata Perkasa sememangnya sudah bertapak di Sarawak sejak 2009 dan kini mempunyai lebih dari 3,000 ahli di negeri bumi kenyalang itu.

“Perkasa ada di seluruh Malaysia malah Perkasa Sarawak telah dibuka sejak 2009 dan telah mempunyai lebih 3,000 ahli. Hanya ramai yang tidak tahu.

“Perkasa Sarawak telah lama dibuka tetapi tidak bergiat aktif kerana yang di-pertuanya, Abang Abdul Nasser Abang Hadari kini dalam keadaan kesihatan yang kurang mengizinkan. Kenyataan sebegini dibuat bagi menghalang Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali masuk ke Sarawak,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Sebuah portal berita hari ini mendakwa Syed Hassan menerusi laman sosial Facebook, bercadang untuk mengukuhkan penguasaan Perkasa di Sarawak namun mendapat tentangan beberapa pemimpin di negeri itu enggan menerima Perkasa yang dilabelkan mereka sebagai badan bukan kerajaan (NGO) rasis dan anti Kristian.

Mengulas mengenai dakwaan itu, Syed Hassan berkata pihak yang mendakwa Perkasa rasis harus mempunyai asas yang kukuh sebelum boleh melemparkan dakwaan sedemikian.

“Sejauh mana mereka nampak Perkasa rasis? Ada kita pukul dan menyerang orang. Ada kita mengajak orang di Sabah dan Sarawak membakar Bible?

“Kami telah pun menetapkan hanya Perkasa negeri yang berhak menggerakkan aktiviti di Sabah dan Sarawak. Pendekatan kami di Borneo, Perkasa memberi sepenuh mandat kepada mereka untuk membawa hala tuju Perkasa. Apa yang lebih diutamakan adalah kepentingan Bumiputera di sana dari segi ekonomi," katanya.

Memetik laporan portal itu, Ketua DAP Serian Edward Andrew Luak berkata kerajaan negeri mesti melarang Perkasa dari memasuki Sarawak kerana menurutnya jika kebenaran diberikan maka aktiviti pelampau akan mekar di Sarawak yang mana penduduk negeri itu tidak akan membenarkan perkara itu.

Sementara itu, Naib Presiden PKR Sarawak See Chee How berkata kehadiran Perkasa di Sarawak sebagai agen kepada Umno selain pertubuhan itu hanya mahu mencuba nasib di Sarawak yang terang-terangan tidak akan diterima oleh penduduk Sarawak setelah lama hidup dalam keadaan harmoni dan berbilang kaum.

Syed Hassan berkata dakwaan sedemikian adalah satu kenyataan nakal dan tidak bertanggungjawab yang tidak tahu perjuangan Perkasa di samping sengaja menimbulkan kebencian rakyat kepada Perkasa di Sabah dan Sarawak.

“Perkasa tak boleh komen. Itu urusan Umno. Kami hanya mempertahankan Bumiputera dan tiada kaitan dengan politik. Ahli Perkasa boleh bersama dengan mana-mana parti tetapi jika mereka di kalangan Bumiputera, maka mereka patut bersama Perkasa kerana kami memperjuangkan mereka," katanya.

Dalam kenyataan balas kepada Pengerusi Angkatan Perubahan Sabah (APS) Keningau Paul Kadau yang mahu menghalang Ibrahim merasmikan persidangan tahunan (AGM) Perkasa Sabah, Syed Hassan pada Jumaat berkata, Perkasa Sabah kini mempunyai lebih kurang 45,000 ahli sejak 2009 dan tidak pernah bermusuh dengan penganut Kristian Sabah malah mengalu-alukan mereka bersama dalam Perkasa untuk mempertahankan kepentingan kaum Bumiputera.

Katanya, ahli Perkasa Sabah yang terdiri daripada penganut Kristian bilangannya agak ramai kerana keahlian Perkasa dibuka kepada semua rakyat Malaysia berstatus Bumiputera.

Paul menggesa Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman menggunakan kuasa eksekutifnya bagi menghalang Ibrahim ke Sabah kerana menurutnya rata-rata warga Sabah tidak menyenangi kehadiran Ibrahim ke sana.

Katanya, larangan itu bagi memastikan keselamatan, perpaduan dan keharmonian semua kaum di Sabah terpelihara ekoran sikap kurang sensitif Ibrahim ketika membangkitkan isu kalimah Allah dan tentangannya terhadap penggunaan kalimah itu dalam Al-Kitab menjadi sebab mengapa beliau harus diharamkan masuk ke Sabah. –

Tiada ulasan: