HALAMAN SANTAI

Selasa, 26 November 2013

Mengapa PRK UiTM perlu diboikot?

Oleh Kolar Putih 

 



Merujuk kepada artikel “Boikot PRK UiTM?” nukilan Dr Jamaluddin Ahmad, beliau menyatakan bahawa UiTM sering dikatakan sebagai kubu kuat Pro Aspirasi dan akan terus bertahan di UiTM.

Perkara ini boleh dibahas kerana sepanjang pengetahuan penulis, di UiTM sememangnya tiada calon dari Pro Mahasiswa.

UiTM tidak menggunapakai sistem dwi-parti bagi pilihan raya kampus (PRK) mereka. Calon yang akan menang adalah Pro Aspirasi, yang kalah pun calon Pro Aspirasi. Mengapa perkara ini berlaku di UiTM?

Pendek kata, semua calon yang menang akan dinobatkan sebagai Pro Aspirasi oleh UiTM. Tidak kira samada individu A lawan B, C lawan D ataupun Y lawan Z, para pemenang akan dinobatkan sebagai Pro Aspirasi. Inilah demokrasi ala UiTM.

Oleh sebab itu, keputusan Pilihan Raya Kampus Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Sesi 2012/2013 adalah daripada 50 buah kerusi yang dipertandingkan, Pro Aspirasi memenangi 50 buah kerusi.

Perkara ini seolah-olah menunjukkan keputusannya adalah Pro Aspirasi - 50, manakala Pro Mahasiswa – 0.

Perkara ini hanyalah retorik dan propaganda UiTM dan media arus perdana untuk menunjukkan bahawa Pro Mahasiswa langsung tidak diterima oleh mahasiswa dan mahasiswi UiTM.

Perkara ini hanyalah untuk menunjukkan bahawa UiTM sebagai universiti untuk Melayu dan Bumiputera disokong dan didokong penuh oleh mahasiswa dan mahasiswi UiTM.

Pastinya pihak pengurusan atasan UiTM yang diketuai Tan Sri Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar selaku penyokong aspirasi parti politk Umno mahu menjaga imej UiTM selaku universiti peneraju penyokong UMNO.

Jika berlaku pertandingan antara calon Pro Aspirasi dan Pro Mahasiswa, bolehkah anda bayangkan kesan dan impaknya jika Pro Aspirasi tewas kepada Pro Mahasiswa di UiTM selaku universiti untuk Melayu dan Bumiputera (dan mungkin diiktiraf sebagai Universiti Diraja selepas ini)?

Fenomena inilah yang mahu dielakkan oleh pengurusan UiTM dan kerajaan. Oleh sebab itu, calon yang bertanding di dalam PRK UiTM tidak dibenarkan untuk tubuhkan apa-apa pakatan bersama calon-calon lain yang turut bertanding.

Sekiranya didapati tertangkap dan didapati bersalah, maka akan gugurlah kelayakan untuk bertanding.

Setiap calon hanya boleh bertanding sebagai individu dengan mewakili diri sendiri dan fakulti semata-mata. Kemudian, setiap pemenang akan dinobatkan sebagai Pro Aspirasi.

Sekali lagi, inilah demokrasi ala UiTM. Inilah juga perang saraf licik oleh UiTM dan golongannya sewaktu dengannya.

Oleh yang sedemikian, penulis ingin menyeru kepada semua mahasiswa dan mahasiswi UiTM agar boikot PRK UiTM demi menjaga dan mendaulatkan sistem demokrasi.

Jadikanlah boikot untuk mengundi ini sebagai tanda protes terhadap pendekatan kuku besi UiTM, sekaligus sebagai mesej penentangan terhadap matinya demokrasi di UiTM.

Tiada guna mahasiswa dan mahasiswi UiTM mengundi kerana siapapun calon yang menang akan dinobatkan sebagai Pro Aspirasi.

Jika mahasiswa dan mahasiswi UiTM turun mengundi, kalian akan dilabel sebagai agen dan penyokong Pro Aspirasi walhal secara realitinya kalian tidak mempunyai pilihan untuk mengundi calon Pro Mahasiswa!

Marilah sokong gerakan boikot PRK UiTM. Jadikanlah PRK UiTM kali ini sebagai sejarah, sejarah di mana peratusan pengundi paling rendah dalam sejarah UiTM. TMI

Tiada ulasan: