HALAMAN SANTAI

Rabu, 20 November 2013

Muktamar: PAS miliki tokoh berjiwa besar



Oleh Abd Shukur Harun


KETIKA mengetahui bahawa beberapa tokoh PAS menarik diri daripada dicalonkan ke jawatan lebih tinggi dalam Muktanar Tahunan PAS akan datang, saya teringat kata-kata pengarang Inggeris terkenal, William Shakespeare bahawa ‘bunga ros di mana pun diletakkan, ia tetap berbau harum.’ 

Moral daripada kata-kata pujangga ternama ini ialah bahawa mereka yang berwibawa, di mana pun dia diletakkan,akan tetap memberikan sumbangan besar di mana orang tetap mengetahui serta menghargainya.

Saya terkesan dengan kata-kata ini ketika mengamati beberapa tokoh PAS yang dicalonkan oleh kawasan untuk memegang jawatan lebih tinggi telah menarik diri, bahkan sedia dicalonkan di dalam jawatan yang lebih rendah.

Bermula daripada Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Penerangan PAS yang banyak dicalonkan untuk jawatan Timbalan Presiden menentang Haji Mohamad Sabu, telah menarik diri dan hanya mahu bertanding sebagai Naib Presiden.

Ketika menolak pencalonannya untuk jawatan Timbalan Presiden, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata:
“Walaupun saya amat menghargai kepercayaan dan penilaian tinggi yang diberikan oleh PAS kawasan yang mencalonkan saya ke jawatan Timbalan Presiden, pada saya, jawatan itu adalah sangat besar dan di luar kemampuan saya untuk memikulnya buat masa kini, tambahan pula terdapat beberapa nama lain yang layak untuk memikul amanah ini.

“Buat masa ini, saya masih diamanahkan sebagai Pesuruhjaya Negeri Pahang, yang memerlukan tumpuan gerak kerja dan masa yang banyak bagi menghadapi PRU14 akan datang.”

Ini suatu jawapan yang sungguh ikhas, merendah duri, penuh muhasabah dan memancarkan jiwa besarnya, sesuai dengan sifatnya sebagai seorang ulama.

Demikian juga dengan Salahudin Ayub yang hanya mahu mempertahankan jawatannya sebagai Naib Presiden dan menolak dicalonkan sebagai Timbalan Presiden dengan alasan, “Cukuplah dengan mempertahankan jawatan saya yang ada sekarang sebagai Naib Presiden. Terima kasih kepada mereka yang mencalonkan saya.”

Keadaan yang sama juga berlaku apabila Dato’ Husam Musa menolak pencalonan sebagai Timbalan Presiden dan hanya mahu mempertahankan jawatannya sebagai Naib Presiden.

Husam ketika memaklumkan keputusannya itu berkata, memandang suasana parti yang ada sekarang, beliau berpendapat faktor kestabilan menjadi sangat penting.

“Atas dasar itu saya memilih untuk bertanding Naib Presiden saja walaupun mendapat pencalonan yang agak baik untuk Timbalan Presiden,” kata Husam.

Dua tokoh lagi – Dr Mujahid Yusuf Rawa dan Ustaz Idris Ahmad yang dicalon oleh kawasan untuk jawatan Naib Presiden juga menolak dan hanya menerima pencalonan sebagai Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Dr Mujahid dalam kenyataannya berkata: “Dengan penuh rasa insaf dan rendah diri, saya menerima pencalonan sebagai AJK PAS Pusat dan tidak menerima pencalonan sebagai Naib Presiden. Saya mengucapkan terima kasih kepada kawasankawasan yang mencalonkan saya sebagai Naib Presiden, namun saya yakin barisan nama yang dicalonkan untuk jawatan tersebut lebih berwibawa dan berkemampuan serta layak.”

Semuanya ini menggambarkan jiwa besar para tokoh ini yang hanya mahu memperkukuhkan kedudukan parti walau dari peringkat mana pun.

Bagaimanapun, pada pendapat saya, para tokoh ini tetap menyerlah dan diakui ramai prestasi cemerlang yang telah mereka tunjukkan selama ini ketika memegang jawatan. Mereka ini, seperti kata William Shakespeare, “bunga ros di mana pun diletakkan, ia tetap harum.”

Ada ramai tokoh di dalam PAS yang berjiwa besar dan tidak mahu menonjolkan diri, tetapi telah memberi sumbangan besar kepada parti. Mereka ini mempunyai ilmu, luas pembacaan, bakat kepimpinan yang menyerlah dan mempunyai idea serta pemikiran yang bernas.

Umpamanya, mereka telah mengadakan pelbagai engagement dengan mereka yang di luar PAS untuk menerangkan dasar Islam yang diperjuangkan oleh PAS.

Mereka ini telah berada di barisan depan dalam usaha merubah umej PAS daripada sebuah parti kampungan kepada parti Islam termoden dan demokratik, yang memberi sumbangan kepada perjuangan rakyat pelbagai kaum dan agama.

Mereka telah berbicara di pelbagai wacana dan debat mengenai haluan politik moden Malaysia. Sesetengahnya dikenali oleh para intelektual Islam di peringkat antarabangsa kerana mendapat pendedahan di luar negara.

Adalah wajar saya sebutkan nama-nama mereka, antara lain, seperti Dr Dzulkefly Ahmad, Hanipa Maidin, Khalid Samad, Dr Hatta Ramli, Ir Nizar Jamaludin, Dr Maria Mahmud dan ramai lagi.
Mereka ini adalah aset parti yang sangat berharga.

Mereka ini mungkin bertanding di peringkat Ahli Jawatankuasa PAS Pusat saja, tetapi saya yakin para perwakilan di Muktamar sedar akan sumbangan mereka selama ini kepada parti.

Sementara itu, setelah beberapa tokoh penting menarik diri untuk dicalonkan sebagai Timbalan dan Naib Presiden, maka akhirnya hanya Haji Mohamad Sabu (mempertahankan jawatannya) serta Nik Amar Nik Abdullah bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden, sementara lima calon akan bertanding untuk tiga kerusi naib presiden iaitu Ustaz Abu Bakar Chik, Husam Musa, Salahudin Ayub, Tuan Ibrahim dan Dato’ Mahfuz Omar.

Seperti yang diakui oleh kawan dan lawan, bahawa proses pemilihan dalam PAS sangat demokratik dan telus, tidak ada kempen kotor dan melibatkan wang dan pelbagai imbuhan seperti yang berlaku pada parti lawan. Kalau adapun, barangkali, hanya sembang-sembang sesama orang PAS sambil minum teh tarik.

Namun sudah diakui oleh pihak kawan dan lawan bahawa PAS memiliki pelbagai tokoh berwibawa dalam pelbagai bidang.

Muktamar PAS ke-59 ini, menurut saya, bukan lagi sekadar membincangkan hal ehwal rumahtangga PAS saja, atau dalam lingkungan kampung halamannya saja, tetapi akan membincangkan bagaimana seharusnya PAS memperkasa dirinya hingga menjadi parti arus perdana di negara ini.

Dalam masa yang sama ia akan terus memperkukuh kedudukannya dalam Pakatan Rakyat, meluaskan interaksi dengan rakyat di luar PAS hingga pada akhirnya PAS dapat diterima oleh rakyat Malaysia seluruhnya, sesuai dengan cogan katanya, ‘PAS For All’.

Tiada ulasan: