ADA yang menangis, berduka, kecewa dan macam-macam lagi perasaan dalam pertandingan merebut kedudukan dalam parti.
Lumrah pertandingan, menang kalah itu adat,
Muktamar dan pemilihan Pas yang melabuhkan tirainya semalam tentu sahaja memberi kesan kepada mereka yang menang apatah lagi yang kalah.
Keputusan perebutan jawatan naib presiden parti itu menarik perhatian pemerhati apabila Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Mahfuz Omar gagal mempertahankan kedudukannya.
Mahfuz menyandang jawatan naib presiden Pas sejak 2009. Sebelum itu beliau memegang jawatan ketua penerangan.
Mungkin sukar untuk menerima hakikat diri tidak diperlukan lagi, namun ahli Parlimen Pokok Sena ini kelihatan cekal sambil berkata, jawatan itu hanya kedudukan dan ranking dalam parti, tidak menghalang beliau untuk terus menyumbang kepada perjuangan parti menjelang PRU14.
Persaingan sengit antara bekas ketua penerangannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man tidak dapat dinafikan namun diterimanya dengan berlapang dada kerana khidmatnya lebih diperlukan di Kedah Darul Aman susulan Pas gagal mempertahankan penguasaan di negeri itu.
Mahfuz boleh dianggap tidak gagal, beliau diangkat sebagai “hero” pada PRK Sungai Limau apabila berjaya memainkan peranan berkesan bagi meneruskan kecemerlangan Pas yang ditinggalkan bekas Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.
Pemerhati melihat nasib Mahfuz tidak ubah seperti bekas Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar yang gagal menjawat apa-apa jawatan di Pusat namun dikekalkan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor selepas BN gagal merampas negeri itu daripada PR pada PRU13 lalu.
Namun itu hanya suatu kebetulan.
Gabungan tiga muka lama dan baru dalam jawatan penting Pas itu diharap dapat melonjakkan fikrah dan menyeimbangkan kekuatan parti Islam itu.
Besar sebenarnya harapan ahli Pas kepada Salahuddin Ayub, Datuk Husam Musa dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Selain Mahfuz, beberapa nama besar lain turut tersingkir dalam barisan ahli jawatankuasa Pas Pusat kali ini dan digantikan oleh pimpinan muda seperti bekas Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan dan timbalannya, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.
Gandingan mantap golongan ulama dan kumpulan yang digelar Erdogan dalam Pas kali ini dilihat agak seimbang apabila ulama tersohor seperti Nik Zawawi Salleh dan Idris Ahmad turut tersenarai menjadi AJK Pas Pusat sekali gus mengembalikan peranan ulama dalam kepimpinan tertinggi parti itu.
Biarpun tewas pada PRU13, namun bekas ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad diberi kepercayaan sekali lagi oleh perwakilan untuk meneruskan sumbangannya di peringkat AJK Pas Pusat. Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin turut diberi kepercayaan yang sama.
Walaupun jawatan Presiden dan Timbalan Presiden masih mengekalkan muka lama iaitu gandingan ulama dan profesional, namun perwakilan dilihat cuba membuat pembaharuan dalam barisan ketiga dan keempat kepimpinan parti itu.
Wajah-wajah inilah yang akan memperjuangan misi dan visi Pas pada PRU14. Wajah-wajah ini jugalah yang akan meneruskan kesinambungan kerjasama politik dalam Pakatan Rakyat.
Pas mengharap barisan kepimpinan barunya ini dapat menarik lebih ramai pengundi Melayu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan