HALAMAN SANTAI

Khamis, 14 November 2013

PAS perlu keluar dari Pakatan Rakyat - Kadir Jasin

Oleh Nur Shakira Buang
Post Pic
 
 
 
DAMANSARA: PAS perlu mengkaji semula kedudukan parti itu dalam Pakatan Rakyat (Pakatan) sekaligus membuat satu ketetapan berhubung arah tuju kerjasamanya dengan PKR dan DAP, kata penganalisis politik Datuk A Kadir Jasin.
 
Ini kerana menurut Kadir, PAS sehingga kini berdiam diri dan gagal dengan pendirian mereka sebelum ini dalam menegakkan Islam dan melaksanakan hudud.
 
"Kepemimpinan PAS perlu mengkaji dan membuat satu ketetapan arah tuju kerjasama PAS dengan parti-parti lain (PKR dan DAP). Sebab saya sendiri yakin bahawa ada orang PAS sendiri yang tidak suka dengan kerjaama PAS, khasnya DAP.
 
"Sebab dalam pakatan itu nampak falsafah perjuangan PAS, nampak idealogi PAS diketepikan atau tidak lagi ditonjolkan bukan kerana PAS tidak berpegang kepada ideologi berkenan tetapi kerana PAS berasa perlu untuk tidak menonjolkannya demi kerjasama dengan DAP dan PKR.Dan ini saya rasa merugikan PAS.
 
"PAS dilihat sebagai tidak begitu mempertahankan lagi atau memperjuangkan perjuangkan fundimentalnya iaitu negara Islam, Hudud...jadi orang melihat sebagai tidak serius atau PAS mempersendakan pula kerana semata-mata hendak bekerjasama dengan DAP dan PKR untuk menang pilihanraya," katanya dalam satu temubual eksklusif bersama Antarapos.
 
Malah, menurut Kadir jika PAS tetap mahu meneruskan kerjasama dengan DAP dan PKR maka parti Islam itu perlu menanggung akibatnya di kemudian hari.
 
Justeru, PAS harus memikirkan semula apa yang dikehendaki parti itu dalam menjalinkan kerjasama dengan perikatan pembangkang itu.
 
"PAS harus memikirkan semula apa yang dikehendakinya adakah dia hendak kembali kepada perjuangan asalnya atau mengubah parti itu kerana hendak bekerjasama dengan DAP dan PKR. 
 
"Kalau PAS masih bertegas mengatakan hidup atau mati mereka akan bekerjasama dengan DAP dan PKR saya rasa PAS akan membayar harga yang tinggi," ujarnya.
 
PAS perlu pilih antara Islam atau kuasa politik
 
Katanya lagi sekiranya PAS mengambil ketetapan untuk keluar daripada pakatan pembangkang itu sudah tentu ia akan menjadi parti Islam yang lebih kuat dari segi akidah dan perjuangan.
 
"Kalau PAS keluar dari Pakatan Rakyat, PAS akan menjadi parti Islam yang lebih kuat...kuat bukan dari segi bilangan kerusi tetapi kuat dari segi akidah dan pegangan. Dia akan kuat dari segi pegangan bahawa ini PAS dan ini perjuangan Islam PAS. 
 
"Tapi tidak semestinya akan menjadikan PAS lebih kuat dalam erti kata orang Islam, orang Melayu semua akan menyokong PAS. Tapi kemungkinan lebih ramai orang akan menyokong PAS kalau PAS berpegang kepada prinsip-prinsip ini...kemungkinannya ada, terutamanya dikalangan generasi muda," katanya lagi.
 
Bagaimanapun beliau yang juga merupakan Tokoh Wartawan Negara ini berkata PAS perlu meyakinkan majoriti bahawa perjuangan parti itu dalam menegakkan Islam adalah perjuangan universal. 
 
"Cuma PAS harus menyakinkan majoriti bukan sekadar menyakinkan golongan ulama yang faham tentang Islam tetapi meyakinkan umum dalam bahasa yang mudah bahawa perjuangan PAS dalam menegakkan Islam adalah perjuangan universal, perjuangan sejagat yang boleh membawa kebaikkan atau boleh membawa lebih banyak kebaikkan dan kebajikan daripada sedia ada," tambahnya.
 
Sebelum ini, Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Harun Taib menegaskan parti itu perlu menilai penggunaan konsep Tahaluf Siyasi untuk bekerjasama dengan PKR dan DAP di dalam Pakatan Rakyat, selepas sokongan pengundi Melayu untuk PAS merosot pada Pilihan Raya (PRU) ke-13 Mei lalu. 
 
Harun juga akur PAS bukan lagi parti dominan di dalam Pakatan Rakyat dan menggesa ahli parti menerima hakikat bahawa "kedudukan PAS di dalam Pakatan Rakyat adalah sangat lemah berbanding sebelum ini". 
 
Malah, beliau menegaskan kemerosotan sokongan Melayu untuk PAS pada PRU-13 memperlihatkan peluang "mustahil" bagi PAS untuk terus berkembang dan melaksanakan matlamat mendirikan sebuah negara berlandaskan Islam tanpa penilaian semula kerjasama dengan PKR dan DAP mengikut konsep Tahaluf Siyasi . 
 
Walaupun menjadi parti pembangkang terbesar di negara ini, PAS hanya mampu memenangi 21 kerusi Parlimen pada PRU 13, berbanding 30 yang diraih oleh PKR dan 38 oleh DAP.
 
Persetujuan PAS untuk tidak lantang memperjuangkan matlamat penubuhan negara Islam berlandaskan undang-undang hudud menguntungkan PKR dan DAP yang berjaya menarik sokongan lebih luas daripada pengundi. 
 
Hasrat PAS untuk menggantikan Umno sebagai parti utama kaum Melayu bagaimanapun kecundang apabila Barisan Nasional menawan semula Kedah dan Umno memperbaiki pencapaiannya dengan memenangi 88 kerusi parlimen.  
 
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini mempertahankan hubungan parti itu dengan DAP dan PKR parti lain mengikut konsepa Tahaluf Siyasi yang di gunakan oleh Nabi Muhammad SAW untuk berurusan dengan bukan Muslim. 
 
Bagaimanapun kerjasama itu dikritik oleh beberapa pihak kerana PAS dilihat berkompromi dengan DAP dan PKR mengenai hal-hal asas membabitkan kepentingan Islam seperti penubuhan negara Islam dan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

Tiada ulasan: