SHAH ALAM: Walaupun berdepan dengan cabaran getir dalam mengharungi pentas demokrasi yang dipesongkan daripada dasar dan konsepnya yang sebenar, PAS tetap memilih pendekatan demokrasi dalam ruang siasah yang ada, kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
"Kita
percaya bahawa demokrasi yang adil secara menyeluruh, adalah mampu
untuk menyelesaikan masalah dalaman umat Islam yang jahil agamanya,
serta tidak sabar dalam menyampaikan risalah dakwah.
"Sebarang
kecacatan yang berlaku terhadap sistem demokrasi, adalah akibat dari
pencabulan dan campurtangan pihak yang menggunakan demokrasi untuk
mengekalkan kuasa politik dan ekonomi mereka," ujar beliau.
Ketika
membentangkan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan PAS ke-59 di Stadium
Melawati dekat sini sebentar tadi, beliau berkata memperjuangkan
demokrasi bukan bermakna melunturkan cita-cita
Islam PAS, malah parti Islam itu akan terus bertegas mempertahankan
Islam sebagai agama Persekutuan mengikut tafsiran yang sebenar seperti
termaktub dalam perlembagaan.
PAS
juga tambahnya, menyeru kerajaan supaya tidak menandatangani sebarang
persetujuan yang bercanggah dengan Islam di peringkat antarabangsa
termasuk menerusi sesi pendengaran Proses Semakan Berkala Sejagat Majlis
Hak Asasi Manusia anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Kerajaan juga mestilah menolak mana-mana cadangan yang bertentangan dengan status quo
undang-undang persekutuan mengenai kedudukan agama Islam dalam negara
dan sebarang usaha untuk membawa rakyat dalam negara kita ini untuk
mengamalkan gaya hidup bebas songsang yang terbabas dari tabii kehidupan
penciptaan manusia," tegasnya.
Ustaz
Abdul Hadi menambah, PAS secara konsisten memperjuangkan demokrasi yang
lebih telus dan adil, kerana demokrasi tempang adalah senjata bagi
Umno-BN untuk mengekalkan kuasa.
"
Lihatlah sahaja bagaimana Kerajaan Persekutuan pimpinan Umno-BN telah
menghukum rakyat Kelantan apabila menafikan pilihan suara hati rakyat
Kelantan selama 23 tahun dengan memilih kita sebagai kerajaan yang
memerintah di Kelantan.
"Rakyat Kelantan dinafikan hak royalti petroleum, setelah merompak hak rakyat Terengganu dengan usul dalam Perhimpunan Agung Umno," kesalnya.
Kerajaan
Persekutuan juga, ujar beliau telah mewujudkan Jabatan Pembangunan
Persekutuan (JPP) di negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat yang
boleh dianggap sebagai "menubuhkan kerajaan lain dalam sebuah kerajaan
yang sah".
Tindakan kerajaan BN ini, ujarnya telah mencabuli hak memilih rakyat dan mencemari konsep federalisme dalam Perlembagaan.
Bagi
mengatasi masalah ini, PAS jelasnya akan terus merangka strategi khusus
dalam memberikan kefahaman dan pendidikan demokrasi kepada umum guna
melahirkan rakyat yang berjiwa merdeka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan