Seorang pelajar yang sepatutnya menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai semalam tetapi menghilangkan diri sejak cuti umum Maal Hijrah pada Selasa lepas telah pulang ke rumahnya semalam.

Jaling Kanyan, 38, ayah kepada Rizawaty, berkata anak perempuannya itu tidak balik ke rumah kerana mengikuti teman lelakinya.

Beliau yang gembira dengan kepulangan anaknya itu bagaimanapun sedih kerana anak sulung daripada enam adik beradik itu enggan menduduki peperiksaan SPM.

"Saya lega dia (Rizawaty) dah balik selepas dihantar oleh sepupunya petang ini, saya harap dia tukar fikiran untuk menduduki peperiksaan SPM walaupun dia sendiri sudah membuat keputusan enggan mengambil peperiksaan itu," katanya kepada Bernama semalam.

Jaling berkata anak perempuannya itu sudah dinasihatkan agar menduduki peperiksaan SPM hingga tamat tetapi tetap berdegil dengan keputusannya.

Selasa lepas, Rizawaty memberi alasan mengikuti kelas tambahan namun tidak balik sehingga semalam dan keluarganya membuat laporan polis serta turut meminta media tempatan membuat hebahan mengenai kehilangan anaknya. - Bernama