TAKIYUDDIN HASSAN  
TAKIYUDDIN HASSAN


MUKTAMAR Pas yang akan bermula pada 22 hingga 24 November depan dilihat amat penting kerana ia adalah yang pertama selepas PRU13.

Ia dianggap sebagai pentas mengkaji semula pencapaian parti itu selepas PRU13 dan terbaru PRK di Kuala Besut, Terengganu dan Sungai Limau, Kedah. Ramai juga menjangkakan usul tahaluf siyasi akan menjadi usul hangat memandangkan ia yang diutarakan Dewan Ulama pada Multaqa' September lalu dikatakan tidak dibentang pada muktamar ini.

Di sebalik kehangatan muktamar ini, Pas turut tampil memperkenalkan format baru pemilihan Pas yang dianggap sebagai penambahbaikan untuk parti itu. Ikuti temu bual wartawan Sinar Harian, Muhamad Adzhar Tajuddin bersama Pengarah Muktamar, DATUK TAKIYUDDIN HASSAN yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu untuk mengetahui maklumat lanjut berhubung pemilihan ini.

Mengapa Shah Alam menjadi lokasi untuk muktamar kali ini?

Pas memilih lokasi Lembah Klang atau lebih spesifik di Stadium Melawati, Shah Alam kerana muktamar kali ini ia melibatkan pemilihan parti. Lokasi muktamar kebiasaannya memang berbeza setiap kali muktamar. Pada 2012, kita adakan di Kelantan dan sebelum itu di Taman Melewar, Selangor.

Apakah tema muktamar kali ini?

Tema muktamar pada kali ini adalah ‘Rahmat Untuk Semua’.

Bagaimana persiapan muktamar kali ini?

Persiapan sudah 85 peratus siap. Sebagai Pengarah Muktamar, saya mendapat kerjasama baik daripada semua petugas urusetia yang 80 peratusnya dari Selangor sendiri iaitu tuan rumah muktamar kali ini.

Kami juga mendapat respons baik daripada kontraktor yang dilantik kerana sentiasa memberi laporan berkenaan tugas yang akan dan telah dilaksanakan.

Ceritakan serba ringkas berkenaan perjalanan keseluruhan muktamar?

Muktamar kali ini akan dijalankan bersama pemilihan parti, melibatkan semua jawatan yang telah diwujudkan Pas Pusat bermula dari jawatan pengerusi tetap, timbalan pengerusi tetap, timbalan presiden, naib presiden, jawatankuasa kerja dan sebagainya.

Bagi jawatan presiden pula ia dikecualikan sepertimana yang telah diumumkan sebelum ini.  Majlis perasmian akan dilakukan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Beliau akan menyampaikan ucapan dasar pada sebelah pagi pada 22 November ini.

Pada sebelah petangnya pula, kita akan menjalankan proses pemilihan parti. Keputusan berkenaan pemilihan ini bakal diketahui pada 23 November sekitar jam 10 pagi.

Berapa anggaran jumlah perwakilan yang akan hadir pada tahun ini?

Kebiasaannya perwakilan tidak akan melebihi 1,300 orang. Jumlah itu termasuk Pas Pusat, Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat. Berbezanya, perwakilan kali ini akan disertai di peringkat kawasan.

Pas melihat kawasan perlu diberi pendedahan untuk turun padang sama-sama memberikan respons demi memantapkan parti untuk kejayaan pada masa hadapan. Pas peringkat kawasan adalah akar umbi terhadap perjuangan parti selama ini dan kerana itu mereka tidak harus dilupakan.

Apakah perbezaan di antara format pemilihan pada kali ini berbanding tahun-tahun sebelumnya?

Pemilihan adalah sama berdasarkan jawatan-jawatan yang dipertandingkan.

Cuma, ada sedikit perubahan daripada aspek teknikal. Jika sebelum ini, sistem perkiraan undi dibuat atas ‘dasar percaya’ sesama sendiri. Berbeza kali ini, setiap calon dibenarkan membawa seorang wakil atau ejen pada masa perkiraan undi.

Konsep yang sama seperti pilihan raya umum. Ejen atau wakil ini boleh membuat bantahan menerusi laporan jika didapati ada kesilapan semasa perkiraan undi.

Ejen atau wakil ini hanya terhadap kepada calon peringkat tertinggi sahaja iaitu Timbalan Presiden dan Naib sahaja. Pas ingin memperlihatkan sikap ‘transparensi’ di kalangan semua calon selain mengelakkan berlakunya masalah atau apa-apa konflik setelah berakhirnya muktamar.

Ejen atau wakil ini dibolehkan mendapat penjelasan dan membuat aduan pada waktu itu juga kepada jawatankuasa pemilihan jika mendapati sebarang masalah seperti undi tidak percaya atau sebaliknya.

Satu lagi kelainan pada pemilihan kali ini adalah tag nama perwakilan akan ditebuk menggunakan penebuk khas setelah selesai menunaikan tanggungjawab mengundi.

Ini untuk mengenal pasti tidak berlakunya undian kali kedua.

Apakah antara usul hangat yang akan dibahaskan?

Setiap perwakilan bebas untuk membawa apa-apa usul yang dirasakan berkepentingan kepada parti.

Tetapi, sehingga kini, jawatankuasa masih belum mendapat sebarang maklumat mengenainya.

Segala maklumat mengenai usul hanya akan diputuskan Pengerusi Usul merangkap Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Mungkinkah usul tahaluf siyasi turut dibentangkan?

Saya tidak boleh bercakap mengenainya kerana tiada sebarang usul diperoleh lagi. Tunggu sahaja sidang media khas nanti.

Pada pandangan datuk, bagaimana persaingan setiap jawatan yang dipertandingkan?

Saya melihat saingan dalam suasana yang baik dan sihat. Apa juga pertandingan yang dijalankan khususnya yang bersifat kepartian, setiap ahli perlu berlumba-lumba untuk membuat kebaikan selain turut berusaha untuk menyumbang sesuatu yang berharga kepada parti.

Jangan sesekali memburukkan calon lain. Bertandinglah dengan jujur dan ikhlas. Jika didapati wujud perkara sedemikian, calon akan disingkir daripada bertanding.

Adakah benar dakwaan mengatakan Pas kini terbahagi kepada dua golongan, iaitu ulama dan profesional. Apakah yang dimaksudkan dengan kedua-dua golongan ini?

Di dalam Pas, tidak wujud dua golongan seperti yang dimaksudkan, sama ada ulama atau profesional, yang ada dalam Pas hanyalah ahli Pas.

Cuma, istimewanya ada dewan yang dinamakan Dewan Ulama Pas di peringkat pusat dan negeri.

Di peringkat kawasan pula, ia dipanggil Urusan Ulama Kawasan. Bagi ketiga-tiga peringkat ini, hanya ahli Pas yang mempunyai latar belakang agama sahaja dibenarkan memegang jawatan sekaligus menganggotai institusi berkenaan.

Selain daripada itu (pusat, Pemuda dan Muslimat), ia terbuka kepada semua ahli Pas yang berdaftar. Jadi, tidak timbul berkenaan lahirnya golongan ulama mahupun profesional.

Jika tiada, mengapa wujud sentimen sedemikian?

Pas tidak berminat untuk menjawab apa-apa berhubung perkara sebegini. Penerangan saya sangat jelas iaitu sesiapa yang mempunyai latar agama sahaja dibolehkan menjawat jawatan untuk dewan tersebut manakala yang tidak ada mereka boleh menganggotai dewan selain itu.

Apakah harapan datuk untuk muktamar kali ini?

Saya mengharapkan muktamar kali ini berlangsung dalam suasana harmoni dan setiap pemilihan atau pertandingan yang diadakan ini akan berjalan dalam bentuk persaudaraan sekaligus mengukuhkan ukhuwah di antara seorang umat Islam dengan umat Islam yang lain.

Semua ahli perlu menunjukkan semangat untuk terus memperkuatkan parti. Ini adalah permulaan sebelum kita mencapai kemenangan dalam PRU14 nanti.