Presiden Bangladesh, Md Abdul Hamid  
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (kanan) bertemu Presiden Bangladesh, Md Abdul Hamid di Kediaman Presiden (Bangabhaban) di Dhaka hari ini. - Foto Bernama


DHAKA - Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina menafikan pembabitan warga Bangladesh dalam proses demokrasi di Malaysia dan menolak dakwaan pembangkang kononnya 40,000 warga Bangladesh mengundi Barisan Nasional (BN) pada PRU13.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, dalam pertemuannya dengan Sheikh Hasina, pemimpin kerajaan negara Asia Selatan itu turut menggeleng kepala tanda tidak percaya dengan dakwaan kononnya rakyatnya terbabit dalam pengundian
pada PRU13.

Najib berkata, jika kononnya lawatan beliau ke Bangladesh dengan misi hendak berjumpa dan berterima kasih kepada pengundi Bangladesh yang telah mengundi BN dalam PRU lepas, ternyata misi beliau gagal kerana beliau tidak berjumpa dengan
seorang pun daripada pengundi yang didakwa itu.

"Nampaknya misi yang kedua ini gagal kerana saya tidak dapat jumpa 40,000 orang Bangladesh yang dikatakan telah mengundi Barisan Nasional," katanya secara sinis dalam sidang media di sini hari ini. - Bernama