Beliau turut menjelaskan bahawa kos pembuatan sepanduk diurus oleh calon dan bukannya ibu pejabat DAP Pulau Pinang.
PETALING JAYA: Setiausaha DAP Pulau Pinang Ng Wei Aik hari ini menafikan tuduhan bahawa DAP meminta komisen sebanyak 30 peratus untuk membuat sepanduk sambil menyatakan tuduhan tersebut ialah khayalan pemilik syarikat Banner King, Chan Boon Tong.
“Ini khayalan Pengarah Syarikat Banner King, Chan Boon Tong yang mendakwa tindakan-tindakan diambil oleh MPPP terhadap sepanduk-sepanduknya yang tidak dikeluarkan permit ada kaitannya dengan satu insiden yang berlaku sebelum PRU ke-12 pada tahun 2008,” kata Ng yang juga ialah Ahli Parlimen Tanjong.
Beliau berkata demikian ketika menafikan tuduhan Chan.
Chan Boon Tong mendakwa parti DAP meminta syarikatnya membuat sepanduk DAP untuk tujuan kempen pilihanraya umum di dalam tahun 2008.
Menurutnya, wakil DAP yang berunding dengannya meminta agar semua harga ditingkatkan sebanyak 30% sebagai komisen.
“Saya menolak tawaran tersebut dan ekoran itu, syarikat saya dimalukan oleh mereka beberapa kali,” kata Chan dalam satu kenyataan media.
Chan yang mendapat kontrak Majlis Perbandaran Pulau Pinang turut mendakwa bahawa peluang perniagaan pengiklanan semakin berkurangan kerana peluang pengiklanan dikawal oleh pihak tertentu dari DAP yang memonopolinya.
Beliau menambah bahawa beliau dan kakitangan syarikatnya ialah penyokong yang mengundi DAP dalam pilihanraya umum.
Ng menambah bahawa dakwaan Chan tidak masuk akal kerana sepanduk calon DAP dalam pilihan raya umum ke-12 dicetak sendiri oleh calon dan tidak diuruskan oleh ibu pejabat DAP negeri Pulau Pinang.
“Kos percetakan juga ditanggung oleh calon-calon masing. Mengapa calon-calon atau wakil-wakil mereka perlu menuntut kos ditingkatkan dengan 30% dimasukkan untuk membebankan mereka sendiri?” Ng berkata.
Ng turut menafikan pihak DAP berurusniaga dengan Banner King syarikat tersebut mempunyai hubungan rapat dengan Barisan Nasional.
Selain itu, Ng menjelaskan bahawa sepanduk – sepanduk buatan Banner King diturunkan oleh pihak Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai kerana dinaikkan tanpa permit.
“Banner King hanya memohon permit-permit pada 4 November 2013 lebih kurang jam 11.30 pagi bagi sepanduk-sepanduk yang mempromosikan aktiviti yang akan dianjurkan pada 6 November 2013.
“Mengapa permit-permit tersebut perlu dipohon pada saat-saat akhir dan bukannya pada 1 November 2013 atau lebih awal daripadanya?” katanya.
Ng menambah bahawa pihak MPPP terpaksa menyenaraihitamkan syarikat Banner King kerana banyak kali memasang sepanduk tanpa permit.
Beliau turut berkata bahawa syarikat berkaitan memohon permit terus dengan Majlis Perbandaran Pulau Pinang meskipun menggunakan khidmat syarikat Banner King.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan