Ubah persepsi negatif terhadap pertanian  
 
Nur Azni Ardini, 6, dan adiknya Nur Azni Arissa Shaharani, 3, berpeluang mendekati arnab.

KUANTAN - Persepsi masyarakat, khususnya golongan muda, terhadap sektor pertanian perlu diubah dan ia merupakan perkara utama yang sedang diberikan tumpuan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sektor pertanian masih dianggap tidak mampu berkembang, mengamalkan cara lama, perlu bekerja dalam persekitaran kotor dan sering dikaitkan dengan perkara negatif.

Menurutnya, kementerian amat serius dalam mengubah persepsi negatif itu bagi mendekatkan dan meningkatkan penglibatan golongan muda dalam sektor pertanian yang merupakan penyumbang ketiga terbesar ekonomi negara.

“Kita tidak mahu golongan belia menganggap mereka yang terlibat dalam dunia pertanian adalah orang miskin, sedangkan di negara maju seperti Jepun, Belanda dan Korea, orang yang terlibat dalam bidang pertanian kaya dan berjaya.

“Malah mereka kini menggunakan teknologi moden dan tidak lagi menggunakan cara tradisional seperti difikirkan,” katanya.

Beliau berucap pada majlis penutup konvensyen peladang, penternak dan nelayan sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2013, di sini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif; Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Hashim Abdullah dan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang, Datuk Zainal Dahalan.

Ismail Sabri berkata, kementeriannya akan terus melaksanakan pelbagai pendekatan bagi menarik golongan muda menyertai sektor itu bagi mencapai sasaran dalam masa lima ke 10 tahun akan datang untuk melahirkan ramai usahawan muda tani berjaya.

“Melalui penubuhan Majlis Perundingan Agropreneur Muda membuktikan kementerian itu serius dalam menangani isu kekurangan penglibatan golongan muda dalam sektor pertanian negara,” katanya.

Berdasarkan statistik, setakat ini hanya 15 peratus golongan muda yang terlibat dalam sektor pertanian, berbanding jumlah keseluruhan belia di negara ini, iaitu seramai 12.5 juta atau 43.8 peratus.