HALAMAN SANTAI

Jumaat, 31 Januari 2014

Allah Kristian, Allah Islam berbeza, kata Yadim

Oleh Hasbullah Awang Chik








































Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim) berkata umat Islam tidak dapat menerima perkongsian kalimah Allah bersama bukan Islam kerana Tuhan yang dimaksudkan dalam agama Islam bersifat tauhid atau Allah Maha Esa.

Pengurus Besar Analisa dan Pengurusan Isu Yadim, Mohd Shauki Abdul Majid, berkata penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam memperlihatkan suatu tindakan yang mungkin akan berakhir dengan konflik lebih besar sekiranya dua pihak bertelagah masih dengan keputusan masing-masing.

“Masyarakat Islam boleh menerima jika bukan Islam menerima istilah Allah itu merujuk kepada nama Tuhan Maha Besar dan Pencipta Seluruh Kehidupan tetapi ia tidak boleh diterima apabila Jesus dikatakan anak tuhan.

“Umat Islam di Malaysia tidak boleh menerimanya kerana Allah mengandungi pengertian tauhid, kebesaran yang tiada tanding dan tidak menyerupai sifat manusia termasuk tidak diperanakkan atau pun beranak,” katanya sebagaimana disiarkan Utusan Malaysia.

Mohd Shauki berkata, dalam sejarah sekali pun tiada kesimpulan yang dibuat bahawa Jesus itu anak Tuhan walaupun kelahiran baginda amat istimewa tanpa melibatkan peranan lelaki sebagai pelengkap zuriat.

Katanya, Nabi Isa tidak pernah memanggil pengikutnya sebagai Kristian dan tidak terdapat dalam kitab asal bahawa pengikutnya dipanggil sebagai pengikut daripada Nazareth apatah lagi kehadirannya sebagai 'penebus dosa warisan'.

“Jesus dilahirkan oleh seorang wanita bernama Mariam. Nabi Isa, seorang nabi yang diutuskan untuk memperbetulkan kehidupan manusia yang ketika itu dipengaruhi mitos Greek kuno.

“Usaha menamakan pengikut Nabi Isa sebagai Kristian dimulakan oleh seorang pengikut tegar Yahudi, Saul yang mengubah ajaran Nabi Isa sehingga menganggap penyaliban baginda satu tindakan menebus dosa walhal konsep itu hanyalah ciptaannya,” katanya.

Beliau berkata, meskipun ada perbezaan ketara mengenai konsep Allah, umat Islam dituntut sentiasa merendah diri dan bersedia berdialog dengan kebenaran dan kesabaran.

Katanya, umat Islam diingatkan melalui Al-Quran untuk tidak mengejek atau menghina golongan lain kerana boleh jadi orang yang dihina itu lebih baik daripada orang yang menghina.

“Sebagai suatu agama yang lebih dahulu merintis jalan dialog, Islam mengemukakan beberapa etika dialog seperti berakhlak sebaik-baiknya dalam perdebatan dengan golongan ahli kitab.

“Jika usaha itu menemui jalan buntu, maka langkah selanjutnya ialah mengatakan kepada mereka bahawa umat Islam juga beriman kepada kitab yang diturunkan kepada mereka dan Tuhan yang disembah oleh umat Islam adalah sama dengan Tuhan yang disembah oleh mereka,” katanya.

Mohd Shauki berkata, pihak yang mahu menyertai dialog perlu melengkapkan dirinya dengan pengetahuan agaman sendiri dan lawan serta memahami istilah teologi kedua-dua pihak dengan tepat.
Katanya, masa depan hubungan Islam-Kristian bergantung kepada kemahuan penganut masing-masing untuk membaiki kecacatan pada masa lalu dan memandang ke depan.

“Jalan yang paling baik ialah melalui dialog, iaitu melibatkan sikap jujur dalam menghadapi perbezaan asas dan bersama-sama mencari kebenaran yang tidak sepenuhnya dimiliki oleh mana-mana kelompok kerana kebenaran yang hakiki itu hanya ada di sisi Allah.

“Pemimpin agama kedua-dua komuniti mempunyai tanggungjawab moral untuk menjaga agama daripada penyalahgunaan atau dieksploitasi untuk kepentingan politik sempit,” katanya.
Beliau berkata, disebabkan sebahagian masyarakat Malaysia masih belum dapat menerima konsep dialog sebagai pencari kesepakatan maka ia hendaklah dilaksanakan secara tertutup.

“Dialog secara terbuka akan mengundang lebih banyak provokasi. Dialog masih tetap perlu, cuma ia perlu berlangsung dalam suasana yang saling cuba memahami dan mencari kesepakatan, bukannya menjarakkan lagi permusuhan,” katanya.

Tiada ulasan: