HALAMAN SANTAI

Jumaat, 31 Januari 2014

PM minta NGO Melayu Islam bertenang

MALAYSIAKINI

 
 
 
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meminta NGO Melayu Islam bertenang dan mengelak perpecahan kaum dalam isu kalimah Allah.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pertemuan antara Najib dan 40 NGO Melayu Islam hari ini penting dari segi mengeratkan hubungan sesama kaum di negara ini.

"Yang paling penting rakyat perlu kestabilan dan keharmonian.

"Kita perlu pertahankan kestabilan dan perpaduan yang ada. Kerana isu ini dimainkan oleh pihak tertentu yg kadang-kadang kemaruk kuasa dan kadang-kadang mengambil kesempatan dari perpecahan umat Islam," katanya ketika ditemui di lobi Pejabat Perdana Menteri hari ini.

Menurut Asyraf, terdapat kebimbangan antara rakyat bahawa pentadbiran Najib kurang tegas dalam menangani perkara ini.

Beliau berkata tugas Najib sebagai pemimpin tertinggi negara perlu memikirkan hal rakyat berbilang kaum dan agama.

"Datuk Seri Najib kata dia pemimpin semua rakyat. Sebagai pemimpin semua rakyat, yang penting jangan ditambah api bahang kemarahan. Sebagai perdana menteri yang bertanggungjawab, beliau perlu meredakan kemarahan. Dia meminta NGO Melayu Islam memainkan peranan sedemikian juga," katanya.

Antara NGO yang hadir ialah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Veteran Tentera Malaysia, Himpunan Siswazah Malaysia dan Gabungan Gagasan Felda Malaysia.

Minggu lalu, ahli Umno Pasir Salak mengadakan demonstrasi di hadapan ibu pejabat Umno meminta Najib mempertahankan penggunaan kalimah Allah yang dianggap mereka ekslusif kepada orang Islam.

Najib ketika perhimpunan agung Umno turut berjanji untuk mempertahankan kalimah Allah yang menjadi sumber ketegangan antara Muslim dan Kristian di Malaysia kebelakangan ini.

Sementara itu Asyraf yang mengatur pertemuan ini berkata pihak NGO itu turut melahirkan kebimbangan mengenai kenaikan kos sara hidup negara ini.

Beliau berkata Najib turut meminta NGO berkenaan menjadi suara Kerajaan dalam menangani persepsi rakyat yang semakin terhakis keyakinan terhadap Umno-BN terutamanya di media sosial dan internet.

"Jadi pertembungan siapa yang dapat garap persepsi menjuarai dalam pentas media sosial.

"Contohnya tadi ada kata kerajaan tak tegas tangani isu semasa dan Datuk Seri Najib jelaskan pendekatan dan tindakan kerajaan. Saya lihat banyak pemimpin NGO yang berpuas hati dengan penjelasan Datuk Seri Najib," katanya.

Najib ketika sidang media tidak banyak mengulas mengenai pertemuan 40 minit itu, sebaliknya berkata perbezaan antara rakyat tidak menghalang perpaduan.

"Kita tak benarkan isu ini memecahbelahkan kita. Memang ada perbezaan pendapat tak seharusnya lebarkan jurang antara kita,"katanya.

Tiada ulasan: