HALAMAN SANTAI

Rabu, 29 Januari 2014

Denda pelajar: Kementerian lain jangan campur

ANIS NAZRI 


KUALA LUMPUR: Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) meminta agar pihak lain tidak campur tangan berkaitan isu pelajar didenda makan rumput, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak Kementerian Pendidikan.

Presidennya, Normala Sudirman, berkata campur tangan daripada pihak lain akan menghilangkan integriti kementerian dalam menangani isu perguruan dan pendidikan tanahair dan perlu menghormati bidang kementerian masing-masing.

"Biarpun kesal dengan kejadian tersebut, biarlah kementerian berkaitan yang menanganinya, selain menghormati bidang kementerian masing-masing dalam membuat apa jua kenyataan dn pandangan," tegas beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Apatah lagi, tambah beliau guru yang mengenakan denda sedemikian telahpun memohan maaf serta ditukarkan ke sekolah lain ekoran perbuatan tersebut.

Normala berpendapat guru terbabit perlu dilayan secara adil dan diberi hak dengan membuka peluang agar membuat kenyataan di media berkaitan isu sebenar.

"Tidak sewajarnya hanya memberi peluang kepada satu pihak semata-mata, tanpa masyarakat memahami apa yang sebenarnya berlaku pada guru ini.  Kebimbangan kami adalah isu ini dispekulasikan tanpa siasatan terperinci dilakukan.

"Sedangkan dalam masa sama, etika perkhidmatan awam dalam Perintah Am, melarang guru mengeluarkan kenyataan tentang apa jua isu pendidikan dan menghalang pendidik membuat kenyataan media untuk membela diri mahupun mengenakan tindakan saman atau guaman untuk membela diri," jelas beliau.

Perintah Am tersebut, tambah Normala merupakan satu dilema yang membelenggu jiwa dan minda pendidik, selain mengongkong hak pendidik selama ini.

Sehubungan itu, beliau mendesak agar Perintah Am dikaji semula agar apa jua isu dan soal kebajikan warga pendidik, hak dan masa depan pendidikan anak didik terbela.

"Dalam masa sama, guru dilayan secara adil dari sudut kebajikan, perundangan dan hak untuk mendapat pembelaan jika dianiaya dan dizalimi. Ini penting agar keadilan bagi pelajar, guru dan ibu bapa ditangani bersama dalam usaha memartabatkan dunia pendidikan dan profesionalisme keguruan dipandang mulia dan terpelihara," tegas beliau, selain menggesa satu jawatankuasa harus dibentuk bagi meneliti semula Perintah Am ini.

Dalam pada itu, Normala yang juga bekas seorang guru turut menasihati agar warga pendidik berhati-hati dalam menghukum, walaupun bertujuan untuk mendidik kerana sedikit kesilapan yang dilakukan akan mengundang kesal yang berpanjangan.

Katanya, warga pendidik harus sentiasa menjaga imej dan profesionlisme keguruan agar tidak menjadi seperti peribahasa melayu, 'kerana nila setitik, rosak susu sebelanga'.

Sebelum ini, dua pelajar Tahun Empat sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Perak, dikenakan hukuman oleh seorang guru bahasa Inggeris di sekolah terbabit kerana tidak menyiapkan kerja sekolah.

Guru terbabit dikatakan mendenda kedua-dua pelajar terbabit dengan menggantung loceng di leher dan dipaksa makan rumput seperti lembu, yang kemudiannya menimbulkan pelbagai reaksi di kalangan masyarakat.

Tiada ulasan: