HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 Januari 2014

PAS nasihat PSM tidak tanding kerusi DUN Kajang

OLEH MOHD FARHAN DARWIS

































PAS hari ini mengingatkan Parti Sosialis Malaysia (PSM) agar tidak meletakkan calon mereka di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang memandangkan PKR telah meletakkan Ketua Umum mereka Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding di kawasan tersebut.

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad (gambar) berkata, PSM sepatutnya memberi laluan kepada Pakatan Rakyat (PR) untuk bertanding dengan Barisan Nasional (BN) supaya mereka dapat melihat sejauh mana kemarahan rakyat terhadap parti pemerintah itu ekoran peningkatan kos sara hidup selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

"Seruan kepada PSM biarlah ini merupakan satu referendum antara PR dan BN.

"Inilah masanya rakyat nak luahkan kemarahan mereka kepada BN khususnya kerajaan Pusat mengenai persoalan kos hidup dan harga barang," kata Khalid kepada pemberita di pejabatnya di Shah Alam, petang tadi.

PSM sebelum ini dilaporkan tidak menolak kemungkinan akan meletakkan calon mereka di DUN Kajang sebagai "mengajar" PKR ekoran krisis antara kedua-dua parti itu merebut kerusi DUN Semenyih dan DUN Kota Damansara ketika PRU13 pada 5 Mei lalu.

"Kita seharusnya berusaha memaksimumkan majoriti dimenangi PR (dalam Pilihan Raya Kecil DUN Kajang)," kata Khalid.

Isu kerusi DUN Kota Damansara ketika PRU13 berlaku selepas PAS meletakkan calon mereka untuk menentang calon PKR yang diwakili penyandang kerusi berkenaan Dr Nasir Hashim, sekaligus menyaksikan calon BN Halimaton Saadiah memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 1,527 undi.

Halimaton memperoleh 16,387 undi berbanding calon PAS Rizuan Ismail yang memperolehi 7,312 undi, manakala Dr Nasir memperolehi 14,860 undi.

Bagi kerusi DUN Semenyih, PSM bertanding menggunakan logonya sendiri dengan meletakkan Setiausaha Agungnya S. Arutchelvan sebagai calon di kerusi berkenaan.

Arutchelvan bagaimanapun tewas pertandingan tiga penjuru berkenaan apabila hanya memperolehi 5,568 undi berbanding BN dengan calon Datuk Johan Abdul Aziz memenangi 17,616 undi dengan majoriti 4,145 undi berbanding calon PKR, Hamidi A. Hasan yang memenangi 13,471 undi.

Kekosongan kerusi DUN Kajang berlaku selepas Adun kawasan berkenaan Lee Chin Cheh meletakkan jawatan untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding di kerusi berkenaan.

Lee yang merupakan Adun dari PKR memenangi kerusi berkenaan menewaskan lima calon lain dengan majoriti 6,824 undi apabila beliau memperolehi 19,571 undi.

Calon BN Lee Ban Seng memperolehi 12,747 undi.

Tindakan Lee meletakkan jawatan kurang setahun selepas dipilih mewakili DUN berkenaan menerima reaksi banyak pihak yang melihat tindakan itu dilakukan atas kepentingan peribadi PKR dan bukannya kepentingan penduduk Kajang.

DUN Kajang terletak di bawah Parlimen Hulu Langat yang dipegang oleh Dr Che Rosli Che Mat daripada PAS.

Data PRU13 menunjukkan DUN Kajang mempunyai sejumlah 38,965 pengundi berdaftar.

Kawasan DUN Kajang membentuk populasi sejumlah 48% pengundi berbangsa Melayu, 40% Cina, 10% India, dan bakinya lain-lain kaum.

Tiada ulasan: