HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 Januari 2014

Pemilik hartanah KL masih tidak gembira dengan cukai taksiran

OLEH JENNIFER GOMEZ


Pemilik hartanah di Kuala Lumpur menghantar surat bantahan kepada DBKL pada 17 Disember, 2013. Gambar fail.Pemilik hartanah di Kuala Lumpur menghantar surat bantahan kepada DBKL pada 17 Disember, 2013. Gambar fail. 



























Pemilik hartanah di Kuala Lumpur mungkin lega apabila kadar cukai taksiran bagi setengah tahun pertama kekal tidak berubah, tetapi mereka menganggap ia hanya langkah menyedapkan hati kerana cadangan peningkatan cukai yang akan berkuatkuasa Julai ini membabitkan penilaian hartanah mencecah sehingga 35%.

Setiausaha Persatuan Penduduk Bangsar Baru, Prem Kumar Nair, berkata perkara itu dimaklumkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada beberapa penduduk yang memfailkan bantahan terhadap cadangan kenaikan cukai itu menerusi satu mesyuarat antara DBKL dengan kira-kira 100 penduduk Bangsar Baru pada 15 Januari lalu.

“Jika jumlah baru akan jadi lebih tinggi daripada maksimum 35%, ia adil, tetapi perkara itu belum lagi  diberitahu secara bertulis,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata, warga emas dan beberapa kategori pemilik diberitahu akan mendapat rebat tambahan.
Presiden Persatuan Penduduk Bukit Bandaraya, Datuk Mumtaz Ali, berkata penduduk di kejiranannya diberitahu bahawa cukai taksiran bagi Januari hingga Jun dikekalkan.

“Kami difahamkan bahawa bayaran cukai bagi enam bulan pertama sama seperti sebelum ini. DBKL memberitahu mereka akan dengar semua bantahan yang dihantar dan hasil keputusannya dijangka pada April,” katanya.

Beliau berkata, DBKL memaklumkan bahawa jika penduduk masih tidak berpuas hati dengan cukai taksiran baru apabila diumumkan nanti, mereka boleh membuat rayuan atau menggunakan tindakan perundangan.

Setiausaha Persatuan Penduduk Villa Manja, James Chow, berkata mereka juga akan membayar cukai pada kadar lama bagi tempoh enam tahun pertama ini.

Beliau berkata, kadar taksiran sedia ada bagi kawasan mereka ialah 4%, tidak seperti kebanyakan kawasan hartanah di KL yang tertakluk kepada kadar 6%.

Chow berkata, kira-kira 40 penduduk di kondominium Villa Manja yang mempunyai 196 unit rumah memfailkan bantahan terhadap cadangan semakan cukai itu.

“Kebanyakan rumah di sini didiami pemilik. Kita sudah memaklumkan kepada mereka mengenai perkara ini dan mereka akan mempertimbangkan. Buat sementara waktu, cukai lama digunakan,” katanya.

Sementara itu, Mumtaz berkata, penduduk di Bukit Bandaraya akan terus membantah peningkatan penilaian rumah yang berdasarkan kepada sewaan tahunan kerana kebanyakan penduduk adalah pemilik hartanah.

Dalam laporan sebelum ini menyatakan penilaian hartanah, yang dibuat berdasarkan sewa tahunan meningkat antara 100% dan 1,000%, dan jumlah penilaian baru itu digunakan untuk mengira kadar cukai taksiran.

Mumtaz berkata, alasan DBKL bahawa mereka tidak menaikkan cukai taksiran selama 20 tahun tidak boleh digunakan untuk meningkatkan kadar cukai sekarang.

“Peduli apa jika mereka tidak naikkan cukai (selama 20 tahun), kerana mereka buat begitu atas alasan yang mereka sahaja tahu,” katanya.

Beliau berkata, jika DBKL akan menetapkan peningkatan daripada cukai taksiran terdahulu pada 35% sekalipun, pihak berkuasa perlu menjelaskan mengapa mereka akan mengutip lebih banyak lagi.

“Mereka tidak memberikan justifikasi apa yang berubah hingga menyebabkan kenaikan cukai kerana perkhidmatan mereka masih tidak meningkat. Pendapatan sewaan tidak dinikmati semua orang,” katanya.

Pengerusi Persatuan Penduduk Seri Petaling, Tan Tai Tong, berkata ada pemilik hartanah yang sudah menerima notis baru yang memaklumkan bahawa kadar taksiran bagi hartanah perumahan dikurangkan daripada 6% kepada 4% dan 10% kepada 8% bagi hartanah komersial.

Beliau berkata, walaupun ia menunjukkan penurunan antara 20% dan 33%, namun penilaian hartanah yang berdasarkan kepada sewa tahunan meningkat sehingga hampir 300%.

Menggunakan unit kedai di Jalan Radin Anum sebagai contoh, Tan berkata, penilaian hartanah itu meningkat daripada RM24,000 kepada RM87,000, menunjukkan peningkatan 265%.

“Jadi, jika kadar turun daripada 10% kepada 8%, pemilik tetap perlu membayar RM4,500 lebih dalam cukai taksiran,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, asas pasakan kadar faedah cukai kepada sewa tahunan ada kekurangan.
Beliau berkata, apabila pemilik hartanah mengutip sewa lebih tinggi, mereka tertakluk untuk dikenakan cukai pendapatan lebih tinggi pula.

“Pasaran teruk menyebabkan kutipan perniagaan juga teruk. Hampir semua kawasan perumahan kini mendapatkan perkhidmatan pengawal keselamatan dan ini bermakna kos lebih tinggi kepada rakyat.
Maka, DBKL tidak patut menaikkan cukai taksiran tahun ini dan membebankan rakyat,” katanya.

Mumtaz berkata, lokasi untuk mendengar perbicaraan mengenai bantahan itu diadakan di Cheras dan penduduk mendapati ia tidak sesuai kerana jauh terutama bagi warga emas yang tidak memandu kenderaan.

“Saya sudah beritahu mereka supaya menggunakan pusat komuniti di kawasan Bangsar dan Bukit Bandaraya yang diuruskan DBKL berbanding meminta warga emas pergi ke Cheras,” katanya dan memberitahu sejak 20 Januari, lokasi perbicaraan itu dipindahkan ke pusat komuniti di Bukit Bandaraya.

Prem berkata, penduduk di kawasannya juga pada awalnya diminta pergi ke pusat DBKL di Cheras untuk perbicaraan bantahan itu.

“Penduduk kecewa dengan  keadaan itu,” katanya.

DBKL menghantar notis kepada pemilik hartanah di Kuala Lumpur, lewat tahun lalu untuk memaklumkan mengenai cadangan peningkatan penilaian hartanah yang akan berkuatkuasa pada 31 Disember.
Tindakan itu menyebabkan kemarahan kebanyakan pemilik hartanah dan mereka menggambarkan peningkatan cukai taksiran itu sebagai melampau dan tidak masuk akal.

DBKL menerima 166,000 surat bantahan sehingga hari terakhir iaitu pada 17 Disember daripada pemilik hartanah yang marah dan membantah kenaikan kadar cukai taksiran hartanah mereka dan perbicaraan sedang berlangsung.

Tiada ulasan: