HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 Januari 2014

Khalid akan berhenti dengan kemahuan sendiri, tidak tolak beri laluan kepada Anwar

ANTARAPO.COM
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau berkemungkinan memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil alih tempatnya, sekiranya diminta oleh Ketua Pembangkang itu sendiri. 
 
Dipetik daripada Malaysiakini, Khalid berkata, sekiranya telah diputuskan bahawa ada keperluan untuk jawatannya diambil alih, maka beliau akan berhenti. 
 
"Jika saya berhenti, ia keputusan saya sendiri. Itu sahaja,"katanya.
 
"Saya akan (berhenti) jika perlu. Tapi jika saya tak rasa perlu (berhenti), dua perkara akan berlaku. Jika saya tak boleh nak ubah saya berhenti. Jika saya boleh, saya akan teruskan (kerja politik)," kata beliau.
 
Namun kata Khalid, sehingga kini tiada perbincangan mengenai pertukaran Menteri Besar. 
 
Beliau dalam pada itu juga berkata tekanan pelbagai pihak yang memintanya untuk mengundurkan diri hanyalah asam garam dalam perjuangan politik.
 
"Tekanan adalah perkara kecil saya fikirkan. Orang tanya bagaimana saya tidak gila dengan semua tekanan ini. Saya jawab 'turun naik' adalah sebahagian hidup. Saya bermula di pasaran saham," kata beliau.
 
Sejak awal bulan ini, Khalid menghadapi tekanan hebat daripada pelbagai pihak termasuk partinya sendiri yang mendesaknya mengundurkan diri daripada posisinya sebagai peneraju Selangor.
 
Ia dikatakan ekoran daripada beberapa siri tindakannya yang membelakangkan parti, antaranya isu penstrukturan air, gaji dan sebagainya.
 
Isu pengguguran Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menambahkan lagi kemarahan kepimpinan parti peringkat negeri. 
 
Spekulasi jawatan Khalid akan digantikan dengan calon lain dikuatkan lagi dengan pengosongan kerusi Dun Kajang, setelah wakil rakyatnya, Lee Chin Cheh meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada Anwar.
 
Ramai melihat perkara ini sebagai rancangan PKR dalam menangani kemelut Azmin-Khalid, walaupun ia disangkal oleh Anwar, Khalid dan juga Azmin sendiri.

Tiada ulasan: