HALAMAN SANTAI

Jumaat, 31 Januari 2014

PKR cabar maruah PAS, dakwa Utusan Malaysia

THE MALAYSIAN INSIDER


Tindakan PKR dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kontroversi DUN Kajang menimbulkan rasa tidak senang di kalangan pemimpin pertengahan PAS. Gambar fail.Tindakan PKR dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kontroversi DUN Kajang menimbulkan rasa tidak senang di kalangan pemimpin pertengahan PAS. Gambar fail.




























Akhbar Umno Utusan Malaysia hari ini berkata PKR sekali lagi mencabar maruah PAS apabila tidak mengadakan perbincangan dengan parti Islam itu susulan peletakan jawatan Lim Chin Cheh sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang.

Wartawannya, Zulkiflee Bakar dalam tulisannya memetik kenyataan beberapa pemimpin pertengahan PAS yang mengkritik tindakan PKR itu.

"Apa yang tidak boleh diterima oleh PAS ialah tindakan itu dilakukan tanpa berbincang dengan parti tersebut dan dibuat atas tujuan politik semata-mata demi memberi laluan kepada PKR menggantikan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim," lapor Utusan.

PAS akan mengadakan mesyurat Isnin ini bagi menentukan sikapnya terhadap apa yang berlaku di Selangor.

Akhbar itu memetik kenyataan beberapa pemimpin PAS termasuk Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nasrudin Hassan; Ketua Penerangan PAS Terengganu, Mohd Nor Hamzah dan Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Perak, Norazli Musa.

Mereka mengkritik dan memberikan amaran kepada PKR termasuk mengugut PAS akan memboikot pilihan raya kecil tersebut.

"Apa yang menjadi persoalan ialah sejauh mana PAS akan bertegas kali ini supaya maruah mereka sebagai sebuah parti Islam tidak terus diperkotak-katikkan dan dipandang remeh oleh PKR," kata Utusan.

Sebelum ini PAS berbesar hati menyerahkan kerusi menteri besar Selangor kepada PKR walaupun dalam Pilihan Raya Umum ke-13, rakyat Selangor dengan jelas memberi sokongan padu kepada PAS menerusi kemenangan 15 kerusi, berbanding hanya 8 kerusi pada 2008.

PKR pula berkurangan satu kerusi berbanding 2008 kerana memperolehi 14 kerusi pada pilihan raya umum tahun lalu.

Utusan Malaysia juga mengungkit ungkapan "PKR seperti biasa tidak pernah menghormati PAS yang bersedia menerima pelbagai kecaman kerana mengadakan tahaluf siyasi dengan parti tersebut dan DAP."

Akhbar itu juga mempersoalkan, apakah penentangan yang ditunjukkan oleh pemimpin PAS bersifat sementara atau hanya dilakukan oleh golongan tertentu sahaja dalam parti tersebut.

Ini berikutan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu sudah menggesa ahli parti supaya patuh kepada keputusan meletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon di DUN Kajang.

Semua orang amat memahami betapa kuatnya pengaruh Anwar dalam kalangan sesetengah pemimpin PAS dan mereka pula memegang jawatan strategik dalam parti tersebut.

"Ini tidak bermakna pemimpin dan ahli PAS harus tunduk dengan misi memenuhi impian Anwar yang mahu menjadikan Kajang sebagai 'menara tinjau' jalan ke Putrajaya, setelah gagal berbuat demikian sepanjang menjadi ahli Parlimen Permatang Pauh.

"Mereka perlu faham maruah PAS kini dicabar sekali lagi, mereka sepatutnya tidak membiarkan PKR terus dominan dalam pakatan pembangkang bersama DAP sedangkan kedua-dua parti itu amat bergantung kepada PAS untuk meraih sokongan orang Melayu," kata Utusan.

Sehubungan itu, akhbar yang menjadi musuh utama Pakatan Rakyat itu mencadangkan, dalam kes di Selangor, PAS perlu menuntut kembali haknya menduduki kerusi menteri besar memandangkan PKR mungkir janji apabila mahu menyingkirkan Abdul Khalid.

Sebelum ini, PAS menyatakan persetujuan kerusi itu dikekalkan kepada PKR kerana mahukan Abdul Khalid tetapi sekarang situasi sudah berubah.

Utusan juga mencadangkan PAS menjadi king maker di Selangor untuk mengelakkan perbalahan antara Abdul Khalid dan Azmin melarat sehingga mungkin boleh melemahkan perjalanan pentadbiran negeri itu.

"Sekarang apa yang diramalkan sudah menjadi kenyataan. Pentadbiran kerajaan negeri menjadi 'mangsa' wayang dan perbalahan politik PKR. Apa yang lebih malang, ia akan turut menyeret PAS untuk bersekongkol bagi menyokong keputusan PKR mengadakan satu pilihan raya kecil," lapornya.

Utusan berkata, PAS perlu bertegas dengan menolak politik tidak bermaruah PKR bersesuaian dengan kenyataan Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri bahawa: "Melibatkan diri dalam Pilihan Raya Kecil DUN Kajang semata-mata untuk memenangkan agenda Anwar menjadi menteri besar menggantikan Khalid adalah satu pengkhianatan terhadap PAS. Tidak sewajarnya ahli PAS membiarkan ia berlaku.

Tiada ulasan: