Mohd Azizuddin Mohd Sani


SHAH ALAM - Penganalisis politik berpendapat setiap parti politik perlu meraikan demokrasi walaupun pelbagai spekulasi timbul dalam menghadapi pilihan raya.

Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, peletakan calon mewakili parti politik di PRK Dun Kajang khususnya perlu diteruskan walaupun ada pihak mendakwa ia sebagai pembaziran.

Menurutnya, BN dan PR perlu meletakkan calon untuk memberi pilihan kepada rakyat walaupun tidak menerima sokongan yang diingini.

"Seharusnya BN perlu meletakkan calon dalam semangat demokrasi.

"Tidak wajar untuk BN tidak meletakkan calon, sebab ia penting untuk bagi pilihan kepada rakyat walaupun penyokongnya tidak ramai," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Terbaru, mengikut laporan media, Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan akan memutuskan sama ada untuk meletakkan calon atau tidak pada mesyuarat yang akan diadakan selepas perayaaan Tahun Baru Cina.

Pada Isnin lepas, Speaker Dun Selangor, Hannah Yeoh  mengesahkan Adun Kajang, Lee Chin Cheh telah  meletak jawatan sebagai wakil rakyat di kawasan tersebut.

Susulan itu, sebagai pengganti bekas Adun tersebut, PR sebulat suara telah memilih Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon pada PRK Dun Kajang yang akan diadakan tidak lama lagi.

Dalam pada itu, Azizuddin berkata, dari segi kos untuk pilihan raya yang dikaitkan dengan pembaziran, pemimpin parti politik dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu bersama mengawalnya.

"Kalau kos itu tinggi dan membazir, perkara ini sebenarnya SPR boleh kawal, mereka yang perlu mainkan peranan.

"Tak payah adakan tempoh kempen lama-lama, pemimpin BN dan PR juga perlu kawal perbelanjaan, tak perlu adakan perang poster dan sebagainya.

"Jadi kalau mahu jadikan sebab kos atau pembaziran sebagai untuk tidak meletakkan calon, ia sangat tidak wajar," katanya.