GEORGETOWN - Gereja tiada kaitan malah tidak tahu menahu mengenai pihak yang menggantung kain rentang berbaur provokasi di hadapan pintu pagar rumah ibadat itu awal pagi, kelmarin.
Paderi Gereja Assumption, Dominic Santhiyagu berkata, mereka hanya menyedarinya selepas dimaklumkan oleh seorang pengunjung pada sebelah pagi.
“Kami menanggalkan kain rentang itu dengan segera agar tidak mencetus suasana tidak selesa kepada mana-mana pihak. Lagipun insiden seperti ini adalah kali pertama berlaku di gereja ini.
“Kemudian, kami menghubungi polis memaklumkan perkara ini. Kain rentang diserahkan kepada polis sebaik mereka sampai,” katanya kepada media di pekarangan gereja itu di sini, semalam.
Susulan itu, beliau berkata, pihaknya membuat laporan polis mengenai insiden penggantungan kain rentang yang boleh mengguris perasaan umat Islam.
“Laporan polis bertujuan menyatakan pendirian gereja tidak ada kaitan dengan tindakan tidak bertanggungjawab itu serta mengelak insiden sama berulang.
“Semua pihak jangan terpedaya dengan helah golongan tidak bertanggungjawab ini. Kita perlu bersatu padu dalam mengekalkan keamanan dan keharmonian di negeri ini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan