HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 Januari 2014

Percaturan lewat Kajang, pahit ditelan


satay-kajang

Oleh Izmil Amri


SEBENARNYA sejak dari dulu lagi Anwar Ibrahim sudah sepatutnya jadi menteri besar Selangor. Manakala Tan Sri Khalid Ibrahim digaji sebagai penasihat ekonomi.

Anwar seorang pemimpin nasional, bekas timbalan perdana menteri; pastinya lebih arif hal politik dan pentadbiran. Khalid, wira ‘The Dawn Raid’ sewajarnya diletakkan dalam kapasiti konsultan dan memberi nasihat-nasihat bernas. Ini yang sewajarnya.

Namun malang bagi Pakatan Rakyat, ada semacam satu keyakinan tinggi suatu ketika dahulu bahawa Anwar amat pasti menyandang kerusi Putrajaya.

Maka diletaklah Anwar sebagai figura bakal perdana menteri, dan akhirnya hari ini Anwar tidak punya laporan prestasi, tidak ada track record pencapaian kecuali apa yang diusahakannya sewaktu menjadi menteri Umno suatu ketika dahulu.

Ini bukan sesuatu yang bagus, terutamanya setelah diserang bertubi-tubi pasca September 1998.

Bagi merangkul Putrajaya, sosok Anwar ini perlu dijenamakan semula sebagai seorang eksekutif, pentadbir, dan pemimpin yang meski terpaksa bermula semula dari petak nombor satu mampu membina negeri contoh berteraskan polisi dan dasar yang berasaskan prinsip-prinsip perubahan dan reformasi.

Tetapi ini bukan faktor utama dalam membincangkan kekalutan semasa. Meskipun hal ini perlu diperjelaskan sebagai premis penting dalam memahami percaturan politik Pakatan Rakyat secara kolektif dalam meletakkan Anwar sebagai calon di DUN Kajang dalam pilihan raya kecil yang bakal berlangsung.

Pokok pangkal permasalahan ini perlu dilihat kembali ke garis masa Mac 2008, ketika parti-parti pembangkang menang mengejut di Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Kelantan.

Tetapi fokusnya sekarang tentulah Selangor.

Selangor berhadapan krisis pada malam 8 Mac, dengan keadaan PAS dikepalai Hasan Ali dikatakan cuba membuat pakatan politik dengan Umno untuk membentuk kerajaan di Shah Alam.

Anwar yang pada waktu itu belum boleh bertanding pilihan raya meletakkan Khalid sebagai calon menteri besar, sesuai dengan‘track record’ Khalid sebagai perancang ekonomi yang baik.

Mudah di PP, payah di S’gor

Maka terbentuk kerajaan negeri Selangor Pakatan Rakyat, dan Hasan serta UMNO Selangor terpaksa menanggung kecewa.

Langkah menjadikan Anwar penasihat ekonomi Selangor juga barangkali boleh dilihat sebagai langkah untuk mewarnakannya sebagai sumber kepada segala polisi dan dasar ekonomi Selangor.

Namun malangnya pada ketika tersebut, Anwar lebih terampil sebagai personaliti nasional yang sedang diusung sebagai calon perdana menteri. Lalu Khalid diberikan segala puji-pujian atas segala kebaikan dan faedah yang dinikmati rakyat Selangor.

Ini berbeza sama sekali jika dibandingkan dengan Pulau Pinang. Lim Guan Eng dilantik ketua menteri tanpa sebarang persoalan kemungkinan beliau diusung ke Putrajaya sebagai menteri Kerajaan Persekutuan apabila Pakatan Rakyat mengambil alih Putrajaya nanti.

Maka Guan Eng tenang-tenang sahaja mentadbir negeri tersebut tanpa jenuh memikirkan untuk membentuk dirinya sebagai bakal menteri apa-apa.

Pulau Pinang tidak ada penasihat ekonomi. Tidak ada perebutan siapa wajar menjadi ketua menteri. Lim pemimpin utama DAP, DAP paling banyak kerusi, Lim jadilah ketua menteri. Mudah.

Di Selangor, keadaan ini dipayahkan dengan keperluan undang-udang tubuh negeri tersebut yang tidak membenarkan orang bukan Melayu menjadi menteri besar.

Maka DAP tiada boleh menyatakan kesediaan berkhidmat dalam kapasiti itu. PAS mampu, tetapi usaha PAS pada waktu itu dicemari sentimen kesatuan Melayu dan keperluan berpadu dengan Umno; maka usaha tersebut digagalkan.

Lalu Khalid dijadikan menteri nesar Selangor dalam keadaan beliau tidak mempunyai banyak kemahiran politik. Jawatan menteri besar adalah ‘jawatan politik’, bukan sekadar pengurus wang seperti seorang akauntan.

Menteri besar mesti berpolitik dan mentadbir sebagai ‘orang politik’. Lalu diutuslah seorang setiausaha politik untuk menunjuk ajar selok belok politik kepada bekas pengurus besar PNB ini.

Yang menjadi akar kepada konflik jawatan MB antara Azmin dan Khalid yang begitu disensasikan media ialah ketidakcekapan Khalid berpolitik pada awal-awalnya.

Setelah jambangan puji-pujian

Kita barangkali masih ingat tentang isu kutipan sampah, selain isu air Selangor yang tidak ditangani secara politikal.

Akhirnya politik Khalid dilihat gagal apabila akur kepada perancangan Kerajaan Persekutuan BN; selain kekusutan ADUN Selangor yang mengadu payah sungguh mahu berurusan dengan Khalid kerana negeri itu ditadbirnya seakan sebuah syarikat.

Ramai pastinya melihat Khalid sebagai hero negeri Selangor dengan program-program merakyatkan ekonomi serta propaganda bagi mewarnakan Khalid sebagai seorang hero.

Seandainya Khalid tidak diwarnakan sebagai seorang hero, dan pencapaian negeri tersebut tidak diuar-uarkan, sukar juga untuk para pendokong Khalid Ibrahim memandang tinggi kepada beliau.

Jadi pokoknya, Khalid terlihat sebagai seorang hero itu adalah hasil daripada kerja buat operator-operator politik yang gigih memperlihatkan beliau sebagai ikon kemajuan negeri Selangor, dengan harapan supaya Pakatan mendapat sokongan yang berterusan. Itu sahaja.

Namun hakikat yang harus kita terima dengan berat hati ialah Khalid sebenarnya bukanlah seorang hero.

Dan ini jelas menjadi asas besar kepada pertimbangan Pakatan untuk menggantikannya dengan yang lain.

Dalam PRU tahun 2008, Khalid bertanding di Ijok dan menang dengan majoriti 1920 undi. Mei 2013 Khalid berpindah ke kerusi Pelabuhan Kelang, dan menang dengan majoriti yang lebih sedikit berbanding penyandang sebelumnya.

Kerusi DUN Ijok dikekalkan kemenangannya oleh Dr Idris Ahmad dengan majoriti merosot hanya sebanyak 739 sahaja. Jadi siapa sebenarnya yang mengundi Pakatan di Selangor dengan dalil heroisme Khalid Ibrahim?

Isu sebenar bukanlah soal Azmin mahu jadi menteri besar, atau Anwar mahu masuk pejabat itu. Isu sebenar ialah Khalid tidak berjaya sepenuhnya memikul tugas sebagai menteri besar yang mampu berpolitik dengan baik, serta menjalankan kerja dengan berkesan.

Hal ini barangkali berat sekali mahu diakui ramai pemimpin Pakatan, setelah Khalid selama ini dipuji-puji dan dipertahankan.

Maka mahu tidak mahu, Khalid harus dikeluarkan dari pejabat menteri besar, dan diganti dengan yang lain; supaya episod kegagalan kerajaan negeri Kedah tidak berulang. Cuma persoalannya, siapa calon yang sesuai.

Propaganda Umno

Anwar, bekas timbalan perdana menteri, ketua umum PKR akan harus menanggung beban dan risiko yang besar apabila bersetuju dengan keputusan partinya untuk masuk ke DUN Selangor.

Anwar pastinya tahu dan telah menimbang segala kemungkinan. Dia mungkin sahaja kalah, dan kerjaya politiknya mungkin saja berakhir dalam sebuah pilihan raya kecil.

Anwar malah boleh sahaja menolak keputusan untuk masuk ke DUN Selangor dan barangkali menggantikan Khalid. Tetapi Anwar tetap menggalas juga tugas gila ini. Kenapa?

Seperti yang tadi disebut, Anwar memang sepatutnya sejak dahulu lagi dijadikan menteri besar Selangor.

Dan langkah sekarang yang nampaknya menjurus ke arah itu, wajar dilakukan segera demi memastikan peluang empat tahun sebelum PRU14 tidak disia-siakan.

Justifikasi bahawa bakal perdana penteri harus punya tapak dan rekod prestasi sebagai menteri besar dengan contoh-contoh Jokowi dan Erdogan itu sudah tidak perlu diulang-ulang.

Langkah Anwar untuk menjadi menteri besar Selangor mengikut model itu adalah langkah yang betul, mesti terlambat tiga empat tahun dan memberi ruang kepada pergeseran politik PKR yang amat merugikan.

Kedudukan Anwar di Selangor akan memberi kesan maha besar kepada Umno di Selangor, yang pastinya hanya akan boleh bermimpi untuk merampas semula negeri tersebut setelah ditadbir dengan lebih baik berbanding metod Khalid.

Adakah akan ada sesiapa yang boleh menunjukkan bahawa Anwar lebih buruk urus tadbirnya berbanding Khalid, setelah mengetahui prestasinya sepanjang tempoh menjadi menteri kewangan dan timbalan perdana menteri?

Yang membuat kita semua kalut sekarang ini ialah kerana kita melihat Anwar mengkhianati kepercayaan pengundi demi memajukan cita-cita peribadi. Padahal ini sesuatu yang tidak dapat ditunjukkan secara jelas dengan bukti-bukti nyata.

Apa yang kita ulang sebut ialah propaganda bikinan Umno bahawa Anwar mahu jadi menteri besar supaya dapat gaji tinggi dan kemudian beri faedah-faedah kewangan kepada anak didiknya si Azmin Ali.

Timbunan rizab negeri

Malah wujud pertimbangan dangkal yang mendakwa Anwar mahu mengosongkan timbunan rizab negeri Selangor yang dikumpul Khalid.

Siapa yang beri kita gambaran ini? Kenapa pula kita percaya? Apa pula bukti-bukti yang ada? Adakah yang dianggap bukti itu telah diuji kesahihannya?

Atau sekadar bacaan politik dan spekulasi semata-mata? Adakah Anwar dan konco-konconya itu begitu bodoh untuk bertindak begitu cuai?

Kesedaran Anwar untuk membina tapak prestasi di Selangor sepertimana Guan Eng membina tapak di Pulau Pinang harus dialu-alukan meski sudah sedikit lewat. Namun, lebih baiklah lewat dari tidak langsung.

Umno pastinya tidak akan mahu Anwar menjadi menteri besar Selangor, ini akan memberikan beliau peluang untuk menunjukkan kepada negara apa sebenarnya yang boleh beliau lakukan sebagai seorang ketua eksekutif dan bukan timbalan-timbalan picisan seperti masa lalu.

Umno akan bertambah cuak apabila Anwar menjadi menteri besar Selangor, ADUN Kajang, ahli Parlimen Permatang Pauh dan ketua pembangkang Parlimen Malaysia.

Selangor dia pegang, Putrajaya dia kepung, punya tapak sokongan di Pulau Pinang dan di Parlimen pula beliau akan tetap berentap dengan Perdana Menteri Najib Razak.

Prestasi yang boleh dibina Anwar dalam kapasiti yang begitu pelbagai pastinya menimbulkan gerun berganda, yang akhirnya akan dilawan dengan tuduhan-tuduhan picisan berkitar soalan kelucahan dan moral sepertimana yang dibuat 15 tahun lalu; yang pastinya telah membuat rakyat muak dan loya.
Macamlah tak ada modal lain.

Jadi isunya mudah: Khalid gagal, perlu diganti. Azmin tak boleh ganti, nanti tidak selesai konflik dalaman parti. Jadi calon yang sesuai itu adalah Anwar.

Ya, dia tahu apa risiko yang ditanggung, dan dia tetap juga meredah apa bahaya yang mendatang. Bertapaknya Anwar sebagai menteri besar Selangor samalah juga macam bertapaknya Guan Eng di Pulau Pinang, dan Nik Aziz di Kelantan.

Makan korban

Ya, keputusan politik yang semacam ini memang berat dan akan memakan korban; namun ia tidak dapat tidak mesti segera dilaksanakan.

Ada yang akan marah, cerca, hina dan maki hamun malah meninggalkan perjuangan hanya kerana tidak puas hati dengan keputusan yang tidak mereka fahami ini. Namun sekaranglah masanya untuk semua ini berlaku demi kemaslahatan menjelang pilihan raya umum ke 14.

Saya antara yang paling awal menghantuk kepala ke meja sejurus mendapat perkhabaran bahawa si Anwar ini mahu bertanding di DUN Kajang demi mengambil alih pejabat menteri besar.

Seperti juga anda, mahu sahaja saya memaki hamun beliau yang tidak mengambil kira sentimen awam sebelum membuat keputusan sedemikian.

Namun setelah mempertimbangkan sebab-sebab yang diberikan, saya harus bersetuju bahawa meskipun gerakan politik ini begitu licik dan membelakangkan banyak hal, ia tetap harus dilaksanakan. Akhirnya Azmin pun tidak berpeluang menjadi menteri besar.

Satu dua minggu ini, isu Kajang akan menjadi buah mulut dan modal kebencian orang. Mereka akan kata ini semua bahana politik kepartian demi cita-cita seorang individu.

Namun hari demi hari anda juga akan bersetuju bahawa langkah ini adalah langkah perlu dan bukan sekadar soal Anwar dan cita-cita yang mungkin tidak kesampaian.

Menjelang hari mengundi di PRK Kajang, anda juga akan duduk di depan skrin televisyen atau komputer dan tetap mengharapkan Malaysia yang lebih baik.

Mengelak Selangor tumpas sepertimana halnya di Kedah adalah demi Malaysia yang lebih baik, bukan soal mengidolakan Anwar dan menyelesaikan masalah parti PKR. Dan anda akan diam-diam bersorak sekiranya Anwar menang.

Namun apa yang penting ialah Pakatan meletakkan nasibnya kembali ke tangan anda. Ini jauh berbeza dengan Umno yang contohnya melantik menteri dari kalangan mereka yang kecundang melalui pintu belakang Dewan Negara.

Pakatan menyerahkan kembali keputusan dan nasib koalisinya ke tangan pengundi; biarlah demokrasi menentukan.

Ada banyak lagi perkara yang harus diselesai dan ditangani. Janganlah dibiarkan tumpuan kita dialih-alih lagi. – Roketkini.com

Tiada ulasan: