HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 Januari 2014

Rakyat Selangor ada hak memilih untuk jadi kuda tunggangan siapa


Spekulasi Anwar jadi Menteri Besar itu tidak dapat di hilangkan kerana ‘PKR engineered by-election’ ini adalah yang sangat mengejutkan ramai dan tidak bersetuju jika ‘orang luar’ datang bermaharajalela di Selangor. PAS merupakan parti yang tidak begitu enak menanti kedatangan PRK ini kerana ramai pemimpin-pemimpin PAS di bawahan telah membuat berbagai-bagai kenyataan yang tidak menyeronokan PKR khususnya Anwar Ibrahim.

Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden PAS menyatakan dengan jelas, yang PAS bersetuju dengan Anwar untuk menjadi ADUN di Kajang tetapi tidak begitu menyokong jika Anwar menjadi Menteri Besar. Ramai di antara pemimpin Muda PAS di peringkat pertengahan dan bawahan menunjukkan rasa curiga tentang tindakan PKR membawa pengundi Kajang untuk terbabit dengan pilihanraya kecil ini.

Walaupun pimpinan PAS secara rasminya memberikan sokongan terhadap pilihanraya kecil ini, tetapi dibawah-bawahan sokongan itu tidaklah begitu keadaannya.  Bagi saya pendukung PAS mempunyai sebab yang kuat untuk merasa sangsi sebagai parti yang lebih besar dan mempunyai wakil yang lebih besar dari PKR di Selangor. Ramai yang merasakan PKR ‘is taking PAS for granted’ seperti yang dialami oleh PAS dalam pilihanraya yang lalu.

PAS mungkin tidak dirundingkan dahulu kerana PKR mungkin beranggapan yang PAS adalah parti yang sabar dan parti itu hanya sebagai parti yang ‘disuruh pergi, dipanggil datang’ sahaja oleh PKR. Sebagai sebuah parti, PAS tentulah ada maruahnya sendiri. Ahli-ahli PAS yang berjumpa dengan saya berkata yang mereka bukannya kaldai politik sesiapa. PKR yang bermasalah kenapa bawa rakyat dan PAS sama-sama terlibat dalam penyelesaian permasalahan PKR itu.

“DAP bolehlah dibawa kemana-mana kerana parti itu adalah kembiri politik negara. Mundar mandir untuk mencari jalan untuk menjadi kerajaan” kata salah seorang pemimpin PAS pertengahan yang berjumpa saya petang semalam. “Letih melayan Anwar ni” katanya tegas.

Salah seorang yang bersama minum petang itu ialah pensyarah Universiti tempatan yang begitu segar memperkatakan hal politik negara memberikan bayangan yang beliau tidak mahu terlibat dengan PRK Kajang ini walaupun beliau adalah pengundi di sana. “Kita setuju Anwar berusaha nak jadi PM tu. Tetapi akhir-akhir ini sokongan Anwar sudah menurun kerana tahap kesabaran melayan kerenah pemimpin ini ada hadnya juga” katanya perlahan kepada saya dan beliau tidak menambah komen-komen yang diberikan oleh yang berada dalam perbincangan itu.

“Lebihnya Anwar ini dia tetap berusaha gigih untuk menjadi PM walaupun ramai berpendapat ia tidak akan kesampaian, tetapi kalau tidak dapat jadi PM pun jadi MB pun jadilah” kata seorang ahli korporat yang agak ternama yang juga bersama kami. Dalam hati berkata kata, “kalau tak dapat lauknya, kuah pun jadilah”.

Lagi pun jika ramai dikalangan ahli-ahli dan penyokong PAS mempersoalkan niat dan tindakan Anwar dan PKR itu, Anwar tetap dengan keyakinannya, kerana beliau ada Lim Kit Siang untuk membela beliau. Anwar ada Lim Guan Eng untuk mempertahankan beliau. Yang penting DAP dan pimpinannya bersetuju dan menampung apa-apa kekurangan yang ada pada parti PKR itu.

Hanya rakyat Selangor ingin tahu diantara DAP dan PKR Selangor ini, siapa yang mengkudakan siapa. Yang mereka (rakyat Selangor) sudah tahu ialah kedua-dua nya ingin menjadikan rakyat Selangor kuda tunggangan mereka.

Tiada siapa yang boleh menyalahkan rakyat Selangor jika mereka rela untuk dijadikan begitu. Kalau dahulu mereka jadi tunggangan UMNO, apa salahnya jika kali ini mereka dijadikan kuda tunggangan PKR dan sekutunya pula?

Oleh kerana masalah diantara satu dua orang pemimpinnya, PKR membawa pula rakyat sama untuk memikul beban permasalahan mereka. "Diantara Azmin dengan khalid sahaja yang sepatutnya menjadi MB itu" kata seorang penyokong PAS yang baru sahaja bercakap dengan saya.

"Kalau tidak selesai diantara Khalid dengan Azmin, berikan sahaja kepada PAS untuk menjadi MB itu. Tak payah panggil pilihanraya kecil lagi. Kita dah teruk dengan kenaikan harga barang, sekarang sibuk nak berkempen pula" sambungnya lagi.

Tiada ulasan: