HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 Januari 2014

PKR jumpa PAS Selangor esok lerai kemelut Anwar

Oleh Shawaliah Hadir
Post Pic
 
 
KAJANG: Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor akan cuba meleraikan rasa tidak puas hati pimpinan PAS negeri terhadap terhadap tindakan PKR mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang untuk membolehkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di situ.
 
Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, berkata Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad bersetuju untuk mengadakan pertemuan itu esok, selepas sayap pemuda PAS menyatakan kemungkinan memulau PRK itu.  
 
"Saya telah bincang panjang dengan Iskandar dan saya fahami sentimen PAS. Saya telah menjelaskan kepadanya dan akan meneruskan perjumpaan untuk menerangkan beberapa perkembangan.
 
"Saya menghormati pandangan mereka (PAS) dan saya sendiri akan terus berjumpa beliau. Reaksi Iskandar Samad baik dan positif," ujar Azmin.
 
Beliau berkata demikian ketika ditanya bantahan secara terbuka Pemuda PAS Selangor semalam yang membantah tindakan PKR mengosongkan kerusi Kajang sebagai merintis jalan untuk Anwar menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar.
 
PAS Selangor juga mengkritik peletakan jawatan Lee Chin Cheh sebagai ADUN Kajang semata-mata mahu memberi laluan kepada PRK bagi menobatkan Anwar sebagai ADUN baharu kawasan itu.
 
Lee pada Isnin mengumumkan peletakan jawatannya walaupun baru sahaja tujuh bulan bergelar wakil rakyat.
 
Azmin dalam pada itu memberitahu beliau dan ADUN Sri Andalas, Dr Xavier Jayakumar turut menawarkan kerusi DUN masing-masing kepada Anwar, sepertimana yang dibuat Lee.
 
Bagaimanapun Anwar menolak tawaran untuk bertanding di DUN Bukit Antarabangsa dan Sri Andalas sebaiknya cenderung memilih DUN Kajang, kata Azmin.
 
"Saya sendiri menawarkan Bukit Antarabangsa dengan Datuk Seri, malah Xavier menawarkan Seri Andalas namun Anwar tidak mahu. Beliau tetap mahu Kajang," jelasnya.
 
Azmin kemudiannya berkata pengundi DUN Kajang sepatutnya bersyukur kerana Anwar sebagai pemimpin bertaraf dunia akan turun bertanding mewakili kawasan itu.
 
"Dia (Anwar) bukan hanya diperlukan di Malaysia sahaja tetapi dia pemimpin dunia. Negara Islam di Timur Tengah sana pun memerlukan Anwar.
 
"Jadi orang Kajang harus bersyukur pemimpin dunia turun ke sini berjuang," katanya.
 
Beliau kemudiannya mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bertanding pada PRK kali ini.
 
“Umno kalau berani mari turun di Kajang, jangan letak MCA jangan letak MIC. Kalau berani letak Najib sebab dalam Utusan kata bukan main hebat (dia), lagi pemimpin hebat, pemimpin besar.
 
"Besar tak besar, mari turun Kajang," katanya dalam taklimat pilihan raya kecil DUN itu kepada lebih 100 pekerja jentera pilihan raya PKR.
  
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat 5 Februari ini bagi membincangkan tarikh PRK DUN Kajang.
 
DUN Kajang mempunyai 39,030 jumlah pengundi dengan pecahan 48 peratus Melayu, 40 peratus Cina 10 peratus India dan lain-lain satu peratus.

Tiada ulasan: