Realiti bahawa Dewan Pemuda PAS terbelah kepada dua fraksi, ortodok dan modern terbayang di dalam reaksi dibuat oleh anggota sayap kanan PAS berhubung kekosongan kerusi DUN Kajang dan pengumuman Anwar Ibrahim sebagai calon PKR dalam pilihan raya kecil itu.
Sekurang-kurang dua orang anggota Pemuda PAS, setakat ini, membuat kenyataan kurang manis berhubung keputusan PKR itu sebaik sahaja Anwar diumumkan sebagai calon. Ketua Pemuda PAS Selangor, Syarhan Humaizi Abdul Halim mengeluar kenyataan awal berbau ancaman akan memboikot pilihan raya kecil bakal diadakan itu.
Katanya sekiranya PKR tidak memberi penjelasan munasabah mengenai pengosongan kersui berkenaan jentera pilihan raya Pemuda akan diarah agar tidak memberi kerjsama kepada pilihan raya itu.
Seorang lagi anggota Pemuda Pas yang membuat kenyataan dikira kurang manis ialah Pengarah Pilihan Raya Pemuda, Mohd Sany Hamzan yang menyifatkan pilihan raya berkenaan mengejutkan dan ianya menyebabkan rakyat meluat dengan kerakusan kuasa dalam PKR.
Sebagai sekutu kepada Pakatan Rakyat, kedua-dua anggota pemuda itu tidak sepatut mengeluarkan kenyataan berkenaan secara melulu yang boleh menyinggungkan perasaan orang lain. Kenyataan-kenyataan bersifat negatif itu menggambarkan kecetakan Pemuda PAS dalam memahami sepak teranjang politik. Ia juga menunjukkan Pemuda PAS kurang ilmu diplomasi.
Mereka juga boleh dianggap biadap kerana tidak menghormati konsensus politik yang dibuat oleh pucuk pimpinan parti. Apakah pandangan pemuda lebih tajam daripada pandangan pucuk pimpinan, Abdul Hadi Awang, Mohamad Sabu dan lain-lain? Apakah mereka tidak tahu bahawa peristiwa hari ini sudah dibincang peringkay pucuk pimpinan? Mungkin mereka tidak diberitahu kerana budak-budak memang tidak perlu diberi tahu awal-awal.
Tetapi senario yang berlaku sudah boleh ditafsirkan. Adalah menyedihkan sebagai orang muda lambat untuk memahami apakah motif dan keperluan disebalik pengosongan kerusi Kajang itu. Kalaulah begitu rendahnya pemikiran Pemuda PAS sukarlah untuk PAS bergerak lebih jauh lagi apa lagi untuk menawan Selamngor secara bersendirian. Kenapa Pemuda harus mempersempitkan akal politik mereka?
Berpandukan kepada dua pandangan itu tidak hairanlah kalau peristiwa di Kota Damansara berlaku yang menyebabkan kerusi yang sepatutnya menjadi milik Pakatan Rakyat terlepas. Sikap dan tindakan begitu, persis marahkan nyamuk membakar kelambu adalah sikap orang bodoh. Di Damansara kerana terlalu tamak dan degil akhirnya ayam terlepas tangan tertinggal tahi.
Kenyataan mereka berdua itu juga seolah-olah bercanggahan dengan keputusan pucuk pimpinan parti yang mana ia boleh dianggap sebagai biadap.
Apakah mereka tidak sedar sidang akhbar pagi tadi dihadiri sama oleh dua pimpinan tertinggi PAS, Naib Presiden, Salahuddin Ayub dan Pengarah Pilihanraya PAS, Dr Mohd Hatta Ramli. Kehadiran mereka itu sudah menjelaskan kedudukan di sebalik apa yang berlaku. Pemuda yang dianggap sebagai ansrollah harus cekap membaca peristiwa.
Cara mereka membuat kenyataan bernada mengkritik dan mencemuh PKR itu tidak menggambarkan mereka sebagai anggota parti Islam yang lebih kepada soal-soal adat dan pekerti. Mereka lebih kurang pemuda Umno sahaja. Cari itu juga bukan memupuk semangat kerjasama dalam keadaan memerlukan kerjasama. Apakah jenis manusia yang boleh dinamakan apabila membuat kerenah disaat kawan menghadapi perang?
Ancaman untuk memboikot pilihan raya kecil itu juga mendahului keputusan pucuk pimpinan. Seharusnya ketua Pemuda PAS Selangor itu memerhati apa yang berlaku dan apakah tindakan pucuk pimpinan. PAS adalah milik semua orang dan bukan hanya milik kalangan Pemuda PAS Selangor sahaja.
Tanggungjawab ahli PAS baik di mana mereka berada adalah secara kolektif. Sebab itu bila ada sesuatu pilihan raya semua ahli PAS akan turun. Jadi apa-apa keputusan berhubung dengan Pakatan Rakyat, semua ahli PAS terlibat dan jangan hanya PAS Selangor merasakan ianya hak mereka secara eksklusif dan boleh berbuat apa yang disukai. Bukankah Islam itu sejagat sifatnya?
Kalau tindakan untuk menunjukkan kita lantang, berani, dan prihatin agamatetapi ia dengan bertenggek di atas nafsu sarakah ia tidak memberi guna apa-apa pun. Pemuda PAS Selangor juga patut membuat kajian dan tahu kronologi macam mana mereka mula mendapat kerusi di Selangor.
Justeru apa-apa keputusan yang dibuat dan diambil oleh pucuk pimpinan hendaklah dihormati dan biarlah penuh hikmah. Cara ketua pemuda PAS Selangor itu seakan tidak mengerti untuk bertindak secara sopan dan sangat cetek dalam memahami seluk belut politik. Pandanglah sesuatu itu dari berbagai dimensi.
Sikap atau kealpaan sebegitulah yang boleh menjejaskan PAS dan menyebabkan orang akan mencemuhi PAS. Gerakan politik yang dipersetujui oleh PAS menerusi Pakatan Rakyat adalah atas dasar dan prinsip politik yang rencam dan bukan peraturan jemaah, hendaklah disedari. Fahami akan hakikat ini. Yang perlu dikenang dalam perjuangan bukan kecemerlangan masa depan yang dibayangkan tetapi kesusahan masa lalu yang diharungi. Saya percaya ada kalangan Pemuda PAS hari ini tidak sempat melalui banyak liku-liku kesusahan Pakatan sebelum ini.
Kesimpulan persepsi atau realiti Dewan Pemuda PAS berpecah kepada dua kelompok tampak jelas dengan sikap dua oknum Pemuda itu. Dewan Pemuda PAS sebelum ini dilihat dikuasai oleh dua kelompok yang tidak sehaluan dan mempunyai pandangan dan uslub politik berbeza. Sepihak lebih bersikap ortodoks mahu mengekalkan pemahaman konversional, manakala sepihak lagi yang modern yang terbuka.
Pertentangan inilah yang sedang berlaku bakal menjadi masalah dalam PAS dan kenyataannya dua orang pimpinan Pemuda PAS itu menggambarkan situasi tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan