HALAMAN SANTAI

Jumaat, 31 Januari 2014

Melayu tidak termakan provokasi perkauman lagi, kata bekas menteri

Oleh Md Izwan
 
 
Orang Melayu kini tidak lagi terpengaruh dengan provokasi perkauman, kata Tan Sri Zainuddin Maidin. Gambar fail.Orang Melayu kini tidak lagi terpengaruh dengan provokasi perkauman, kata Tan Sri Zainuddin Maidin. Gambar fail.



























Bekas menteri Kabinet Umno, Tan Sri Zainuddin Maidin menyokong penubuhan rekonsiliasi nasional kerana masyarakat Melayu tidak lagi terpengaruh dengan provokasi perkauman.

Zainuddin berkata, keadaan sekarang berbeza ketika berlaku insiden pergaduhan kaum 13 Mei 1969, di mana kaum Melayu menerima hasutan berbentuk perkauman.

"Kita tidak sedar bahawa orang Melayu semakin matang dan sudah tidak mudah lagi diracuni atau dipermainkan perasaan mereka oleh golongan perkauman Melayu," kata veteran Umno itu kepada The Malaysian Insider.

Zainuddin yang juga dikenali sebagai Zam berkata, rakyat Malaysia juga tidak lagi memikirkan untuk bergaduh sesama sendiri sebaliknya mahu berkongsi kemakmuran.

"Keadaan sudah tidak seperti 13 Mei dan sekarang lebih stabil, rakyat dapat berkongsi kekayaan negara, jadi rakyat makin memikirkan soal untuk hidup dan membina kepentingan diri masing-masing serta kemakmuran.

"Bukan memikirkan untuk bergaduh lagi," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akhirnya bersetuju untuk mengadakan rekonsiliasi nasional dengan pembangkang Pakatan Rakyat (PR) selepas beberapa usaha tersebut menemui kegagalan.
Bagaimanapun, Najib berkata, cadangan itu bukan bermakna ke arah pembentukan kerajaan perpaduan.

Najib menggariskan empat perkara dalam rekonsiliasi nasional tersebut dan akan bertanggungjawab sebagai ketua dalam mencapai matlamat demi kebaikan negara.

Hubungan antara agama dan kaum berada pada tahap terburuk dalam sejarah terutama selepas berakhir Pilihan Raya Umum ke-13 tahun lalu.

Ketegangan antara umat Islam dan Kristian dalam isu kalimah Allah yang berterusan, terbaru provokasi politik dan perkauman oleh kumpulan ultra Melayu di Pulau Pinang yang membawa sepanduk mengancam 13 Mei berulang susulan tindakan Adun PKR menghina Najib dalam isu kangkung.

Bagaimanapun, Zainuddin melihat provokasi tersebut tidak laku lagi, malah masyarakat Melayu zaman ini sudah terdidik dan dapat berfikir secara matang.

"Provokasi ini tidak lagi laku dalam keadaan sekarang, tidak mudah kata hendak mencetuskan 13 Mei sekali lagi.

"Orang Melayu pun sudah stabil dan terpelajar," katanya.

Beliau berkata, provokasi berbau agama dan perkauman yang dibangkitkan oleh kumpulan tertentu tidak lagi berkesan, malah cubaan sejak 2008 tersebut gagal menarik kaum Melayu untuk menunjukkan kemarahan mereka.

"Sudah tidak mudah, umpamanya selepas Pilihan Raya Umum 2008, ada satu demonstrasi di Pulau Pinang menentang Ketua Menteri, Lim Guan Eng kononnya beliau menentang Dasar Ekonomi Baru, tapi perhimpunan itu sudah tidak mendapat sambutan lagi," katanya.

Malahan, Zainuddin mengganggap tindakan provokasi menyerang gereja di Pulau Pinang pada Isnin lalu bertujuan membangkitkan kemarahan sebagai sia-sia.

"Baru-baru ini, gereja diserang bom di Pulau Pinang, mana ada reaksi orang ramai ataupun mana-mana pihak yang menjadikan ini sebagai satu isu untuk bakar negara," katanya.

Bagaimanapun, Zainuddin tidak menolak di dalam negara ini masih mempunyai individu dan kumpulan tertentu yang gila perkauman dan agama.

"Tetapi dalam pada itu, kita akan hadapilah orang yang gila politik dan perkauman, sama seperti di Barat,” katanya.

Katanya, beliau berharap rekonsiliasi nasional tersebut akan diadakan secara tertutup dan perbincangan mesti menjurus kepada usaha untuk memakmurkan negara dan mengukuhkan perpaduan berbilang kaum di Malaysia.

"Keperluan ini ada, kalau jemput dengan ikhlas, kita jemput semua termasuk ekstrem agama.
"Kita jemput dalam satu jawatankuasa ini, tetapi kita mesti mencari formula dalam majlis tertutup supaya masing-masing dapat mencurahkan perasaan," katanya.

Ahad lalu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi mengulangi tawaran konsensus nasional dan Najib memberikan reaksi positif apabila berkata perkara tersebut akan dibawa berbincang ke Kabinet.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-13 di mana BN mendapat keputusan paling buruk dalam sejarah, pentadbiran Najib dilihat bergelut menangani hubungan antara kaum dan agama dalam negara dan diburukkan lagi dengan kenaikan harga barang.

Tiada ulasan: