KDN Kementerian Dalam Negeri


SHAH ALAM - Beberapa NGO menggesa kerajaan melaksanakan undang-undang terhadap penyebar fitnah yang menggunakan kaedah suntingan di media sosial terhadap pemimpin.

Presiden  Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin, Ramesh Rao berkata, tindakan tegas perlu dikenakan ke atas individu yang menyebar fitnah kepada pemimpin sama ada pembangkang atau pun kerajaan dengan menggunakan teknik sunting atau edit ke atas gambar-gambar mereka.

Menurutnya, gejala edit gambar berbentuk fitnah menyumbang kepada masalah perpecahan rakyat Malaysia.

"Kita mahu Kementerian Dalam Negeri (KDN) ambil tindakan terhadap sesiapa yang edit gambar pemimpin dengan segera.

"Kita ada dua puak di Malaysia, penyokong pembangkang dan kerajaan, apabila gambar pemimpin mereka diedit, ini bakal mengeruhkan keadaan dan punca ketegangan kaum.

"Contoh ahli Perkasa bakar gambar Jesus, padahal itu edit, jadi ini memburukkan keadaan, jadi kami rayu KDN desak pantau dan ambil tindakan kepada sesiapa yang edit seperti Singapura," tambahnya.

Tambahnya, hukuman tegas perlu dikenakan ke atas individu yang tidak bertanggungjawab ini.

"Kita cadangkan kerajaan kenakan 20 tahun penjara, dan 10 sebatan kepada pesalah ini," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah turut menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan.

"SKMM perlu ambil tindakan juga, ini akan menggugat keharmonian kaum di Malaysia, begitu juga KDN.

"Kita percaya Polis Diraja Malaysia (PDRM), KDN dan SKMM akan mengambil tindakan segera," katanya.

Terdahulu, satu memorandum "Mendesak Dan Melaksanakan Hukuman Berat Terhadap Penyebar, Pembuat, Penghasut dan Penabur Fitnah" diserahkan kepada wakil KDN, Mua'mar Ghadafi Jamal Jamaluddin.