ADUN lebih besar sedikit dari ketua kampung,
nama besar seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sesuai menjadi wakil
rakyat Kajang
PETALING JAYA: Penduduk Kajang tidak memerlukan wakil rakyat besar sebaliknya mereka hanya mahu wakil rakyat yang boleh mengambil berat masalah kecil mereka seperti banjir, sampah dan jenayah.
“Mereka tidak mahu wakil rakyat yang besar seperti menteri, ADUN ini lebih besar sedikit dari ketua kampung saja. Jadi nama besar seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sesuai menjadi wakil rakyat Kajang.
“Dia (Datuk Seri Anwar) tak kan nak bawa isu sampah, banjir kilat dan jenayah kecil…tidak sesuai untuk dia.
“Status Anwar sangat besar untuk menjadi ADUN Kajang bagi melihat masalah penduduk seperti sampah, kerosakan lampu isyarat dan longkang tersumbat.
“Mereka juga tidak mahu wakil rakyat import, mereka tidak mahu orang luar yang mengatur mereka, ” kata Datuk Mohd Said Mad Saman, bekas Ahli Jawatan Kuasa Umno Hulu Langat yang kini menjadi ketua cawangan di Kampung Sungai Kantan, Kajang.
Kerusi Kajang kosong ekoran perletakan jawatan Lee Chin Cheh Isnin lalu untuk membuka Anwar laluan bertanding di kerusi tersebut.
Spekulasi tercetus Anwar akan dilantik menjadi menteri besar Selangor menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat minggu depan bagi menetapkan tarikh pilihan kecil berkenaan.
Beliau mengulas tindakan Anwar, ketua umum PKR dan juga ahli parlimen Permatang Pauh bertanding di kerusi tersebut dalam pilihan kecil yang dijangka bulan depan.
Menurut Mohd Said lagi, tidak semestinya calon MCA saja sesuai bertanding di Kajang kerana orang Melayu mahukan calon Umno.
Katanya, pengundi Kajang memilih calon Melayu iaitu Dr Shafie Abu Bakar dari PAS dalam pilihan raya umum tahun 1999.
“Beliau menjadi wakil rakyat Kajang sepenuh masa. Wakil rakyat seperti ini yang rakyat Kajang mahu…kalau kita (BN) ada orang macam ini kita boleh menang,” kata Mohd Said lagi.
Majoriti Melayu
Pengundi Melayu membentuk 48.48% daripada 38,965 pemilih berdaftar, manakala Cina 40.46% dan India 10.15%.
Mohd Said menambah, orang Kajang memerlukan seorang wakil rakyat tempatan kerana masalah penduduk hanya yang kecil-kecil saja.
Meskipun BN dijangka meletakkan calon dari MCA, Mohd Said berkata, calon orang Melayu dari Umno berpeluang untuk menang di Kajang.
“Sentimen orang Melayu tidak kira orang Umno atau PAS, mereka mahu seorang wakil rakyat yang berjiwa Kajang.
“Mereka tidak mahu orang luar yang mengatur mereka,” katanya.
Bagaimanapun, Ruslan Abdullah dari bandar Kajang berkata, melihat kepada perkembangan semasa Anwar boleh menang apatah lagi kewibawaannya terkenal di seluruh negara.
Menurutnya, mungkin undi majoriti lebih besar kerana kerusi ini disandang oleh PKR.
“Saya tidak nampak Anwar akan hadapi masalah besar di Kajang, itu hanya propaganda Umno.
“Rakyat Kajang akan memilih mana yang permata, mana yang pasir,” tambahnya sambil ketawa kecil.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan